Calon muda mahu bawa perubahan di Kuala Kedah

Ulya Aqamah beramah mesra dengan peniaga ketika Walkabout di Pasar Nelayan Tandop Kubang Rotan pada Ahad.
Ulya Aqamah beramah mesra dengan peniaga ketika Walkabout di Pasar Nelayan Tandop Kubang Rotan pada Ahad.
A
A
A

KUALA KEDAH - Calon muda Gerakan Tanah Air (GTA) mengakui tidak gentar berdepan calon otai dan senior di Parlimen Kuala Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ulya Aqamah Husamudin, 31, berkata, usia bukanlah penghalang sebaliknya memberi kelebihan kepada beliau untuk diterima pengundi di kawasan terbabit.

“Saya rasa usia muda akan lebih kepada membawa harapan, disebabkan calon senior ini sekiranya mereka hendak membuat perubahan, maka mereka sudah buat.

“Namun, saya tidak nampak perubahan Kuala Kedah yang merupakan kampung saya sejak sekian lama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Walkabout di Pasar Nelayan Tandop Kubang Rotan, di sini pada Ahad.

Ulya yang merupakan Ketua Penerangan Pejuang akan berdepan saingan lima penjuru termasuklah dengan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dari BN.

Selain itu, Ulya turut berdepan penyandang kerusi Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail dari Pakatan Harapan (PH), bekas Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dan Syed Araniri Syed Ahmad mewakili Parti Warisan (Warisan).

Ulya berkata, pengundi perlu membuat perubahan sekiranya menginginkan perubahan di kawasan terbabit dengan memilih calon muda seperti dirinya.

Katanya, anak muda memiliki cara lain yang berbeza dengan orang lama, namun tetap memiliki aspirasi yang dekat dengan pengundi.

Artikel Berkaitan:

"Saya berhasrat membawa perubahan dengan pembangunan lebih mapan di Kuala Kedah, selain tetap mengutamakan kebajikan.

"Saya ingin membawa perubahan dengan membawa limpahan ekonomi di kawasan ini sekaligus merapatkan jurang antara Kuala Kedah dengan Alor Setar.

“Kita kena buatlah infrastruktur baharu dan apabila pelancong datang mereka dapat belanja duit di sebelah sini dan rakyat setempat akan dapat limpahan ekonomi itu,” katanya.

Beliau berkata, perubahan perlu dilakukan segera bagi memastikan penduduk setempat memperoleh manfaat, apatah lagi hampir 10 juta dari 30 juta pelancong ke Langkawi akan melalui laluan Kuala Kedah.

Dalam pada itu, Ulya berkata, beliau juga akan memberi perhatian kepada isu pendidikan di kawasan itu.

Katanya, beliau ingin menyediakan lebih banyak peluang termasuklah bidang kemahiran kepada anak tempatan sekaligus membolehkan mereka mengubah nasib mereka.

“Saya rasa jikalau kita nak ubah nasib masyarakat ini, kita kena ubah nasib mereka melalui pendidikan,” katanya.