Lando tidak mahu cari musuh

Azlan Sani atau lebih dikenali sebagai Lando
Azlan Sani atau lebih dikenali sebagai Lando
A
A
A

SUNGAI BESAR - Calon Gerakan Tanah Air (GTA) kerusi Parlimen Tanjong Karang, Azlan Sani Zawawi berpegang kepada prinsip tidak mahu mencari musuh dengan mana-mana parti politik sebaliknya mahu fokus kepada permasalahan masyarakat.

Azlan Sani atau lebih dikenali sebagai Lando berkata, fokus utama beliau adalah untuk mengetengahkan isu rakyat berbanding hanya mencari kesalahan kepimpinan terdahulu.

"Kami berterima kasih kerana ada kepimpinan di Tanjong Karang mengambil berat dan berusaha menyelesaikan permasalahan rakyat sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bagaimanapun, katanya, beliau mahu satu aliran perubahan dengan menyelesaikan masalah itu tanpa menghina antara satu sama lain sama ada melibatkan parti politik atau bangsa.

Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) itu memberitahu, fokus masalah rakyat yang perlu diberi keutamaan antaranya isu jalan berlubang termasuk di kawasan kampung Parlimen Tanjong Karang.

Ujar Lando, satu kaji selidik akan dilakukan mengenai perkara itu sebelum mengambil langkah atau tindakan lanjut pembaikan jalan.

Selain itu katanya, tumpuan juga terarah kepada isu belia dan ekonomi rakyat setempat.

"Kita juga mengenal pasti ban pecah yang menyebabkan air melimpah di Tanjong Karang dan ini penting untuk kita mencari jalan penyelesaian mengatasinya," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Kerusi Parlimen Tanjong Karang menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Ketua Wanita UMNO Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd Yusof (BN), Datuk Dr Zulkapferi Hanafi dari Perikatan Nasional (PN) dan Siti Rahayu Baharin yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Pesara kerajaan yang bertanding sebagai calon Bebas, Mohd Rosni Mastol turut bertanding bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU14 lalu, penyandang kerusi itu, Tan Sri Noh Omar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang dengan majoriti 1,970.

Noh memenangi kerusi itu sejak tahun 1995 menewaskan Zulkafperi Hanapi daripada gabungan pakatan pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon Pas iaitu Nor Az Azlan Ahmad.