Calon PSM 20 tahun tabur bakti di Rembau

Tinagaran (tiga dari kanan) ketika mengedarkan risalah manifesto di Pasar Pekan Rantau pada Ahad.
Tinagaran (tiga dari kanan) ketika mengedarkan risalah manifesto di Pasar Pekan Rantau pada Ahad.
A
A
A

REMBAU - Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Tinagaran berkeyakinan dapat menawan Parlimen Rembau walaupun berdepan persaingan sengit dengan gabungan parti yang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan pengundi di Rembau mengenalinya sebagai seorang aktivitis dan guru tuisyen sejak 2006 hingga kini.

"Kami (PSM) pernah buat kerja di sini, ramai masyarakat setempat kenal saya sebab hampir 20 tahun berkhidmat bukan sahaja sebagai guru tuisyen tetapi turut membela isu-isu rakyat.

"Jadi saya yakin akan masuk ke Parlimen... kalau tidak pun sekurang-sekurangnya boleh mempopularkan parti kerana pertama kali kita kibarkan bendera tangan di Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita sempena pelancaran manifesto PSM di Pasar Pekan Rantau pada Ahad.

Pada PRU15 ini kerusi Parlimen Rembau menyaksikan lima pertembungan iaitu calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pakatan Harapan (PH), Jufitri Joha; Perikatan Nasional (PN), Mohd Nazree Mohd Yunus; Gerakan Tanah Air (GTA), Ramly Awaluddin dan PSM, Tinagaran.

Dalam pada itu, Tinagaran berumur 45 tahun berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan merupakan Setiausaha PSM Negeri Sembilan memberi jaminan akan memperjuangkan skim jaminan kerja dan jaminan makanan.

"Selain itu, saya akan memperkasakan perlindungan sosial, perumahan untuk rakyat, reformasi institusi dan pentadbiran negara," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan berkata, rakyat kini lebih melihat kepada faktor calon berbanding parti selepas perubahan angin politik pada PRU14.

Artikel Berkaitan:

"Kita mempromosikan kepelbagaian dalam Parlimen dan bukannya menawarkan gabungan politik yang besar sebab tidak mahu Parlimen hanya dikongkong oleh dua gabungan gergasi, itu tak boleh, ini pun tak boleh, suara rakyat tak keluar.

"Kita cuba walaupun seorang, walaupun dua orang, seperti yang pernah dilakukan oleh Dr. Michael Jeyakumar di Sungai Siput dahulu," ujarnya.