PRU15: MCCF tolak budaya keganasan

MCCF kesal dengan insiden kekecohan yang berlaku di pusat penamaan calon di Tenom. (Gambar kecil: Awang Jaafar)
MCCF kesal dengan insiden kekecohan yang berlaku di pusat penamaan calon di Tenom. (Gambar kecil: Awang Jaafar)
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menggesa semua parti politik mematuhi undang-undang dan tidak membuat sebarang provokasi yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

Pengerusi Perhubungan MCCF Sabah, Datuk Awang Jaafar Wahid berkata, aktiviti seumpama itu sudah tentu akan mewujudkan kebimbangan dalam kalangan orang awam terutama ketika menjelang hari pengundian pada 19 November nanti.

Katanya, kekecohan yang berlaku di pusat penamaan calon di Tenom, Sabah seharusnya tidak lagi berulang di mana-mana negeri lain.

Tambahnya, insiden sehingga menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan gas pemedih mata bagi meredakan keadaan adalah satu kejadian yang memalukan.

“Kejadian ini seolah-olah wujud budaya baharu iaitu mendatangkan ketakutan serta kekecohan terutama dalam kalangan penduduk di sekitar daerah Tenom.

“Kita kesal mengapa perkara ini berlaku di kawasan yang tidak pernah terjadi benda-benda kekerasan seperti ini.

“Saya mohon agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas agar keadaan ini tidak akan merebak di kawasan lain di Sabah sehingga menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengundi nanti,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Awang Jaafar berkata, dalam tempoh sama sepatutnya pemimpin parti cuba menenangkan penyokong masing-masing agar tidak timbul isu keganasan sepanjang musim pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

“Kita di MCCF menolak sekeras-kerasnya sebarang provokasi dan budaya keganasan, malah mengingatkan bahawa negeri Sabah bukan tempat untuk mengamalkan budaya seperti ini.

“Kita harap agar semua parti bertanding bersabar serta menyerahkan kepada kebijaksanaan serta menghormati keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR),” katanya.