Pengusaha PMKS akui bantuan sepanjang PKP menjadikan perniagaan kembali bernafas

A
A
A

No Image Caption

ISU yang membelenggu golongan Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) menjadi antara agenda utama Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang diterajui Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkongsi lima cadangan utama MPN kepada kerajaan baru-baru ini, antaranya isu kekurangan pekerja di sektor kritikal seperti pembinaan, perladangan dan pelancongan serta memudahkan pinjaman dan pemberian moratorium khas kepada golongan PMKS.

Isu aliran tunai pengusaha PMKS sering kali dibincangkan dalam mesyuarat MPN kerana ia mampu menjejaskan dan merencat proses pemulihan negara.

Memandangkan sektor PKS dan PMKS merupakan antara yang paling terjejas akibat pandemik Covid-19, MPN telah mencadangkan supaya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) mempertimbangkan lanjutan pemberian moratorium kepada pengusaha PMKS.

QAIRY MAHERAN
QAIRY MAHERAN

“Sudah tentu sebagai pengusaha PMKS, kami sangat terkesan sepanjang pandemik terutama aliran tunai. Saya sendiri mempelbagaikan barangan seperti kosmetik, makanan, fesyen dan makanan kesihatan untuk tarik lebih ramai segmen pengguna. Alhamdulillah, kini perniagaan semakin bertambah baik.” - Ketua Pegawai Eksekutif Empire Ailyqairy Sdn Bhd, Qairy Maheran

Artikel Berkaitan:

“Saya mendapat bantuan Geran Khas Prihatin sebanyak tiga kali dan ia sangat membantu menampung kos sewa dan sebagainya. Saya akui sepanjang pandemik kebanyakan peniaga berdepan waktu sukar, namun dengan pembukaan ekonomi secara berperingkat, perniagaan semakin pulih dan produk anti mikrob iaitu anti bakteria, anti virus dan anti fungus keluaran saya semakin mendapat sambutan.” - Ketua Pegawai Eksekutif Aura By Hiskar, Mohd Hisham Kassim

“Sebagai pengusaha kerepek, masalah utama yang kami hadapi adalah lambakan bahan mentah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun dengan pembukaan ekonomi secara berperingkat, perniagaan semakin baik walaupun agak lembap kerana inflasi. Saya juga berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan bantuan Geran Khas Prihatin kepada usahawan seperti saya.” - Pengurus Fazz Enterprise Sdn Bhd, Fazly Mahmudin

“Bagi pengusaha kek lapis seperti saya, pandemik memberi kesan sangat besar terutamanya aliran tunai. Saya ada mendapat bantuan Geran Khas Prihatin, sedikit sebanyak bantu tampung kos yang terpaksa ditanggung. Jika kerajaan nak berikan moratorium khas, ia memang satu kelegaan besar untuk pengusaha PKS." - Pengurus Inabah Enterprise, Muhamad Fadil Mustafa

HAYATI
HAYATI



“Pandemik memang memberi kesan besar kepada pengusaha PMKS. Saya sendiri mengusahakan restoran, memang terjejas teruk bila berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun kelonggaran dan keprihatinan kerajaan kepada pengusaha seperti saya, kesannya dapat dikurangkan. Alhamdulillah, perniagaan bertambah baik dan saya kini sudah membuka cawangan kedua.” - Pengusaha Restoran Lauk Ayam Kampung, Hayati Aziz

“Semua perniagaan terkesan khususnya PMKS. Namun, bagi saya yang menguruskan perniagaan Miss Dodol, saya perlu kreatif dalam memastikan perusahaan dapat bertahan dan kembali kukuh. Antara yang saya lakukan adalah menguatkan pasaran dodol dengan masuk ke pasar raya besar dan berusaha meningkatkan jualan untuk tahun depan.” - Pengurus Mislinda Food Empire, Latif Mustari

“Pandemik memberikan kesan besar kepada saya kerana terpaksa menutup dua restoran yang diusahakan. Saya kemudiannya beralih dengan perniagaan kek durian yang mendapat sambutan baik. Alhamdulillah, dengan keuntungan perniagaan kek dan bantuan Geran Khas Prihatin sebanyak RM4,000, saya berjaya membuka perniagaan katering.” - Pengarah Impiana Classic Catering, Wan Ahmad Jasri Wan Kamarulzaman

AHMAD MUZAKKIR
AHMAD MUZAKKIR



“Kita harus akui PMKS cukup terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila banyak sektor tak dapat dibuka. Setahun pertama memang teruk terutama bagi perniagaan pasar malam sebab adanya sistem penggiliran. Mujur ada bantuan Geran Khas Prihatin dan pembukaan ekonomi, perniagaan kembali baik dan tahun ini adalah tahun untuk ‘restart’ perniagaan.” - Pengerusi Hal Ehwal Usahawan, Persekutuan Alumni UiTM Malaysia, Ahmad Muzakkir Hamid

KAMARUL NIZAM
KAMARUL NIZAM



“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memang peniaga pasar malam terjejas teruk. Saya bersyukur kerana mendapat bantuan Geran Khas Prihatin, yang mana saya dapat tiga kali dengan jumlah keseluruhan RM5,000. Ia membantu peniaga seperti saya dapat menampung kos barangan jualan.” - Pengerusi Koperasi Peniaga Pasar Malam Selangor, Kamarul Nizam Razak

MUHAMAD ASYRAF
MUHAMAD ASYRAF



“Saya rasakan semua usahawan terkesan sepanjang pandemik, baik daripada segi aliran tunai dan kesukaran mendapatkan sesuatu produk dan bahan. Tapi dengan adanya bantuan seperti Geran Khas Prihatin, kita manfaatkannya dengan meneroka digital dan kita laburkannya dengan membuka laman web. Alhamdulillah, selain mempunyai ‘mart’ sendiri, kita sekarang dalam proses membuka kafe MyOKU.” - Pengarah MyOKU Niaga Sdn Bhd (MyOKU), Muhamad Asyraf Mahat