PRU15: Tiga wanita bertanding lapan penjuru di Parlimen Sepang

Tiga dari kiri: Che Asmah, Rina dan Aiman Athirah selepas pengumuman penamaan calon Parlimen Sepang di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi, di sini pada Sabtu.
Tiga dari kiri: Che Asmah, Rina dan Aiman Athirah selepas pengumuman penamaan calon Parlimen Sepang di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi, di sini pada Sabtu.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan pertembungan lapan penjuru yang mempertaruhkan tiga calon wanita bagi merebut kerusi Parlimen Sepang.

Calon-calon tersebut ialah Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mohd Harun; Ketua Wanita Gerakan Tanah Air (GTA), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim dan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Raj Munni Aiman Athirah.

Turut bertanding di Parlimen Sepang adalah calon BN Anuar Basiran, R. Nageswaran (PRM), Mohd Daud Leong Abdullah (PUR), Mohd Syahrul Amri Mat Sari (Bebas) dan M. Muneswaran (Bebas).

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengurus Pilihan Raya Parlimen Sepang, Datuk Abd Hamid Hussain di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, semua calon yang mengemukakan borang pencalonan layak bertanding dalam PRU15 sepanjang proses penamaan calon sejak ia dibuka bermula jam 9 hingga 10 pagi pada Sabtu.

"Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan tersebut. Setelah semakan dibuat, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak kertas penamaannya," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, Parlimen Sepang mencatatkan jumlah pengundi seramai 167,988 orang kali ini.

Ujarnya, jumlah tersebut meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Dengkil seramai 89,704 pengundi diikuti Sungai Pelek (46,172) dan Tanjong Sepat (32,112).

"Sebanyak 50 pusat mengundi dibuka di seluruh Sepang termasuk tempat pengundian awal yang menempatkan seramai 2,254 petugas SPR dan 287 salurun mengundi," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) itu memaklumkan pihaknya bersedia dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir di daerah berkenaan sepanjang musim PRU.

Katanya, sekiranya banjir berlaku dalam tempoh tersebut, pihaknya akan merujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan selanjutnya.

"Bagi persediaan banjir (ketika musim PRU15), MPSepang bekerjasama dengan Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sepang untuk berada dalam keadaan bersiap siaga di lokaliti-lokaliti berpontensi banjir.

"Segala aset juga berada dalam keadaan bersedia. Kita berdoa mudah-mudahan cuaca baik pada 19 November nanti," ujarnya.

Artikel Berkaitan: