Ahmad Maslan tidak pandang rendah saingan di Pontian

Ahmad Maslan (dua dari kanan) bersama tiga lagi calon iaitu Jamaludin (kiri), Isa (dua dari kiri) dan Shazwan (kanan) pada majlis penamaan calon Parlimen Pontian di Dewan Jubli Intan Pontian pada Sabtu.
Ahmad Maslan (dua dari kanan) bersama tiga lagi calon iaitu Jamaludin (kiri), Isa (dua dari kiri) dan Shazwan (kanan) pada majlis penamaan calon Parlimen Pontian di Dewan Jubli Intan Pontian pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berdepan persaingan empat penjuru di Parlimen Pontian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Pontian ditentang Datuk Isa Ab Hamid daripada Perikatan Nasional (PN-Bersatu), Shazwan Dzainal Abidin dari Pakatan Harapan (PH-DAP) dan Jamaludin Mohamad (GTA-Pejuang).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, kerusi Parlimen itu dimenangi Ahmad Maslan dengan 21,132 undi, berbanding calon Bersatu, Karmaine Sardini meraih 20,299 undi, manakala Baharom Mohamad mendapat 4,295 undi.

Ahmad Maslan menang dengan majoriti 833 undi.

Menurut Ahmad Maslan, keupayaan calon-calon yang bertanding di Parlimen Pontian tidak boleh dipandang rendah kerana masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri.

Katanya, sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Parlimen Pontian yang mengambil tugas daripada Datuk Seri Hasni Mohammad yang bertanding di Parlimen Simpang Renggam, beliau akan memastikan jenteranya berjalan dengan lancar.

"Saya akan memastikan kelancaran jentera pilihan raya Parlimen Pontian dengan bantuan semua pihak yang terlibat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penamaan calon di Dewan Jubli Intan Pontian di sini pada Sabtu.

Sementara itu calon dari PN, Isa Ab Hamid berkata, walaupun tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu, ia tidak akan mematahkan semangatnya untuk mencuba pada PRU15, biarpun berdepan saingan sengit.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pelbagai agenda pembangunan Parlimen Pontian akan dimasukkan ke dalam manifesto pilihan raya yang kemudiannya akan dinilai oleh pengundi.

“Isu perumahan antara yang diberi tumpuan selain peluang pekerjaan kepada golongan muda di kawasan luar bandar supaya mereka menikmati kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.