Gara-gara duit satu peti, akauntan rugi lebih RM95,000

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang akauntan rugi RM95,668 selepas tertipu ketika membantu penghantaran peti berisi wang AS$9 juta milik seorang tentera di Libya ke negara ini.

Wanita berusia 53 tahun dari Triang itu mengenali lelaki menggunakan nama Liegh Hester tersebut melalui e-mel yang diterima pada 11 Februari lalu.

Melalui e-mel tersebut, suspek yang kononnya bertugas sebagai tentera di Libya meminta mangsa untuk membantunya menghantar wang tersebut ke negara ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek memberitahu wang tersebut diisi dalam sebuah peti dan akan dihantar melalui sebuah syarikat perkapalan yang berpangkalan di London.

"Mangsa bersetuju dan memberikan nama dan alamatnya untuk urusan penghantaran kepada syarikat perkapalan berkenan. Mangsa diminta membuat sejumlah pembayaran untuk urusan penghantaran dan tuntutan.

“Mungkin percaya dengan imbuhan lumayan dijanjikan, mangsa membuat pembayaran seperti yang diminta melalui 12 transaksi ke tiga akaun bank atas nama individu berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM95,668,” katanya.

Beliau berkata, selepas semua bayaran dibuat, mangsa mendapati syarikat perkapalan itu tidak lagi menghantar e-mel untuk memaklumkan perkembangan penghantaran wang tersebut.

“Mangsa mula syak ditipu lalu tampil membuat laporan polis semalam dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: