Wan Azizah tertinggal MyKad

Wan Azizah (tengah) berarak bersama penyokong menuju ke Pusat Penamaan Calon Parlimen P124 Bandar Tun Razak di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sempena PRU15. - Foto Bernama
Wan Azizah (tengah) berarak bersama penyokong menuju ke Pusat Penamaan Calon Parlimen P124 Bandar Tun Razak di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sempena PRU15. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Gelagat calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tertinggal kad pengenalan (MyKad) ketika mahu memasuki pusat penamaan calon mencetuskan gelak tawa kira-kira 200 penyokong yang mengiringinya.

Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum itu tiba di hadapan pusat penamaan calon Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) di sini bagi proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada jam 8.45 pagi.

Bagaimanapun, selepas berjalan meninggalkan penyokongnya kira-kira 100 meter dan hampir memasuki pintu pagar PPC, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyedari tidak membawa MyKad.

Penyandang Ahli Parlimen Pandan itu kemudiannya berpatah semula dan mendapatkan MyKad beliau daripada anaknya yang berada bersama kumpulan penyokong.

Dr Wan Azizah berkata, awalnya beliau meletakkan MyKadnya bersama pas calon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dipakai.

"Tetapi sebab nak kemas kini borang yang diselit pada pas SPR, saya minta anak pegang sekejap MyKad.

"Tapi kemudiannya saya lupa untuk ambil semula," kata beliau selepas proses penamaan calon selesai pada Sabtu.

Kerusi Bandar Tun Razak itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Dr Wan Azizah dengan penyandang kerusi itu, Datuk Kamarudin Jaaffar (Perikatan Nasional) dan Datuk Chew Yin Keen (BN).

Artikel Berkaitan:

Pegawai Pengurus Pilihan Raya P124 Bandar Tun Razak, Mohammad Amim berkata, hanya tiga calon itu menghantar pencalonan tiada pencalonan yang ditolak.

Proses penamaan berkenaan selesai kira-kira jam 10.45 pagi sebelum ketiga-tiga calon meninggalkan pusat penamaan.

Bandar Tun Razak dianggap kerusi panas kerana Dr Wan Azizah sebelum ini dilaporkan mahu merampas semula kawasan itu daripada Kamarudin yang memenanginya atas tiket PKR pada PRU14 (2018) sebelum meninggalkan parti berkenaan pada 2020 serta menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perarakan Dr Wan Azizah sejauh 500 meter ke pusat penamaan calon turut bergema dengan laungan reformasi oleh penyokongnya yang memakai baju merah dan mengibarkan bendera PH serta memegang sepanduk.

Kamarudin dan Yin Keen yang turut diiringi masing-masing 200 penyokong tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.50 dan 8.55 pagi.

Yin Keen merupakan calon tidak asing di kerusi itu kerana merupakan Pengerusi MCA Bandar Tun Razak.