Isu kad pengenalan sama telah lama selesai - JPN

JPN menjelaskan isu dua individu mendakwa memiliki nombor kad pengenalan yang tular di media sosial sudah lama diselesaikan.
JPN menjelaskan isu dua individu mendakwa memiliki nombor kad pengenalan yang tular di media sosial sudah lama diselesaikan.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan isu dua individu mendakwa memiliki nombor kad pengenalan yang tular di media sosial sudah lama diselesaikan.

JPN dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, kes tersebut berlaku pada tahun 2020 dan pihak mereka telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan ketika itu.

"JPN ingin menjelaskan bahawa perkara tersebut telah diselesaikan dan pemilik MyKad tersebut masih lagi memegang nombor Kad Pengenalan itu dan masih berdaftar.

"Siasatan ketika itu mendapati kekeliruan yang berlaku disebabkan terdapat kesilapan semasa proses mendaftarkan nombor telefon dengan pihak Telco berkenaan.

"Kedua-dua individu tersebut memiliki nombor kad pengenalan yang berbeza di dalam sistem JPN," katanya.

Sebelum itu, seorang individu berkongsi berkenaan isu kad pengenalan anaknya tidak boleh digunakan bagi penukaran talian Digi ke Celcom kerana didapati sama dengan orang lain berbangsa Cina.

Menurut JPN, warganegara Malaysia hanya akan diberikan dengan satu nombor kad pengenalan dua belas digit yang unik di mana nombor tersebut dijana oleh sistem menggunakan formula tertentu.

Ujarnya, JPN tidak pernah mengeluarkan nombor kad pengenalan yang sama kepada individu yang berbeza.

"Justeru, kami meminta orang ramai tidak mempercayai dan tidak menyebarkan maklumat palsu berkenaan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan di kalangan masyarakat.

"Tindakan undang-undang boleh diambil bagi penyebaran maklumat yang salah oleh individu yang tidak bertanggungjawab," katanya.