Pimpinan Pejuang Temerloh sokong calon PN

Rofaie (dua dari kanan) bersama Hassanuddin (kanan) dan Yusof ketika sidang akhbar di Temerloh pada Jumaat.
Rofaie (dua dari kanan) bersama Hassanuddin (kanan) dan Yusof ketika sidang akhbar di Temerloh pada Jumaat.
A
A
A

TEMERLOH - Kepimpinan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Parlimen Temerloh beralih arah untuk memberikan sokongan terhadap calon-calon Perikatan Nasional (PN) kawasan itu pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Penyelaras Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Rofaie Hamdan berkata, tindakan itu berikutan kecewa apabila tiada kerusi diberikan kepada calon Pejuang Temerloh.

"Contohnya di Temerloh ini, selain kerusi Parlimen tidak ada satu pun kerusi yang diberikan kepada calon-calon daripada Pejuang walaupun saya sebagai Penyelaras Pejuang di sini selama beberapa tahun telah mencadangkan beberapa nama, namun tidak satu pun yang dilayan.

"Bahkan, kami juga tidak pernah langsung diajak berbincang untuk menentukan calon-calon dan gerak kerja PRU15," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Hadir sama calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) Kuala Semantan, Hassanuddin Salim dan DUN Mentakab, Mohd Yusof Omar.

Ujar beliau lagi, lebih memburukkan keadaan, semua calon yang dicadangkan untuk Parlimen Temerloh adalah calon 'tangkap muat' iaitu tidak ada akar umbi, tiada pengikut di kawasan dan sangat berpotensi untuk kalah.

"Kehadiran mereka ini sebenarnya bukanlah untuk menang tetapi hanya memecahkan lagi undi yang mungkin memberikan kelebihan kepada UMNO untuk menang.

"Oleh yang demikian, kami pimpinan Pejuang di Temerloh telah hilang kepercayaan kepada Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Pahang, Aminuddin Yahaya dan bertekad untuk menyokong sepenuhnya calon-calon PN kerana telah ada 'track record' berkhidmat kepada masyarakat di Temerloh," katanya.

Jelas Rofaie, mereka juga yakin dengan menyokong calon-calon PN ini akan memberikan kelebihan untuk mengalahkan BN berbanding calon tangkap muat yang dibawa oleh GTA.

Dalam pada itu, Rofaie juga menyerahkan sebarang tindakan kepada pucuk pimpinan parti berikutan tindakan yang diambil oleh yang beralih arah terhadap calon PN.

"Buat masa ini kami masih ahli Pejuang tapi paling penting selepas ini kami memberikan sokongan terhadap calon-calon PN di Temerloh.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hasanuddin bersyukur dan mengalu-alukan sokongan yang diberikan terhadap calon PN di Temerloh.

"Daripada PN Temerloh khususnya kami sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

"Ini satu kelebihan buat PN Temerloh dan ia juga sebagai pemangkin kepada sokongan lebih besar untuk PN di seluruh negara," jelas beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Pahang.