Maritim Malaysia tingkat kawalan menjelang PRU15

Mohd Zubil
Mohd Zubil
A
A
A

SHAH ALAM - Kawalan sempadan maritim akan dipertingkatkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menerusi beberapa pelan operasi khas di perairan negara.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, ancaman jenayah rentas sempadan dikesan mulai rancak berikutan ekonomi negara yang kian pulih ketika ini.

"Dalam tempoh seminggu ini sahaja di pantai barat semenanjung terdapat beberapa tangkapan telah dilakukan Maritim Malaysia yang membabitkan cubaan masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

"Tangkapan terbabit dilakukan di perairan Selangor dan aktiviti penyeludupan dadah pula dikesan di utara perairan negara, manakala di Sabah dan Sarawak didapati terkawal dengan hanya sebilangan kecil kes pelanggaran undang-undang membabitkan komuniti tempatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zubil berkata, pihaknya telah merangka beberapa pelan operasi khas dalam usaha mencegah aktiviti jenayah maritim meliputi domestik ataupun rentas sempadan.

Katanya, anggota dan pegawai Maritim Malaysia tetap fokus dalam aspek keselamatan perairan negara dan akan menjalankan tugas seperti biasa sepanjang PRU15.

"Anggota dan pegawai yang bertugas di luar kawasan undi semasa PRU15 akan membuang undi secara pos, manakala selebihnya mengundi seperti biasa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Malaysia turut bersiap siaga melakukan tugas-tugas mencari dan menyelamat jika diperlukan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal melanda bermula 7 November hingga Mac 2023.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menggesa komuniti maritim seluruh negara bekerja sama dengan pihak berkuasa bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat.

"Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut disalurkan dengan segera menerusi talian MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia di talian 03-89957820 atau WhatsApp 019-26110833," ujar beliau.