PRU15: PKR Pahang pertaruh 80 peratus muka baharu

Amirudin (tiga dari kanan) menyampaikan watikah calon DUN Pahang di Temerloh pada Jumaat.
Amirudin (tiga dari kanan) menyampaikan watikah calon DUN Pahang di Temerloh pada Jumaat.
A
A
A

TEMERLOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang mempertaruhkan 80 peratus muka baharu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan 18 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari di sini pada Jumaat, 12 calon baharu yang pertama kali bertanding termasuk tiga calon wanita di kerusi DUN menjadi taruhan parti terbabit.

Calon terbabit terdiri daripada Shahuddin Abdul Rahman, 65, (Batu Talam), Mohamad Rafly Mohd Satar,61, (Damak), Chan Chun Kuang,30, (Semambu), Amran Tahir, 47, (Kuala Sentul), Mohamad Hafez Harun, 45, (Jenderak), Rosli Ismail,62, (Lanchang), Mohd Yazid Che Mat, 48, (Chini), Datuk Seri Ahmad Omar,67, (Sungai Lembing) dan Mohd Afandi Abd Rani, 58, di DUN Luit.

Calon wanita kali pertama bertanding membabitkan Ketua Wanita Keadilan Pahang, Haslindalina Hashim, 58, di DUN Panching, Ketua Penerangan Wanita Pahang, Barirah Mohd Mokhtar, 61, (Bukit Ibam) dan Ahli Jawatankuasa Cabang Rompin, Norlaily Forizad, 36, di Muadzam Shah.

Enam lagi calon terdiri daripada Ismail Mohd Husin di DUN Jelai, Profesor Madya Dr Rasid Muhamad, 63, di DUN Cheka, Rizal Jamin, 50, (Benta), Sim Chon Siang, 58 (Teruntum), Fakhrul Anuar Zulkawi, 53 (Inderapura) dan Manolan Mohamad,46 (Kemayan).

Bagi kerusi Parlimen, PKR bertanding di enam kerusi yang membabitkan Naib Ketua Cabang Bera, Abas Awang,71 bertanding di kerusi Parlimen Bera, mantan Naib Canselor Universiti Zainal Abidin (Unisza), Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, 60, (Jerantut), Zuraidi Ismail, 56, (Indera Mahkota), Mohd Naim Zainal Abidin, 56, (Pekan) dan Erman Shah Jaios, 61, di kerusi Parlimen Rompin.

Penyandang kerusi Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, 63, pula masih dikekalkan untuk bertanding di kerusi tersebut.

Dalam pada itu, ketika ditanya sasaran PKR Pahang, Amirudin memberitahu, parti itu menyasarkan kemenangan sekurang-kurangnya empat kerusi DUN berbanding dua kerusi DUN iaitu di Semambu dan Teruntum pada PRU14.

Artikel Berkaitan:

Amirudin (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar pengumuman calon PKR Pahang bagi PRU15 di Temerloh pada Jumaat.
Amirudin (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar pengumuman calon PKR Pahang bagi PRU15 di Temerloh pada Jumaat.

Menurutnya, jumlah tersebut seiring dengan realiti yang perlu dihadapi namun tidak mustahil lebih banyak kerusi mampu dimenangi berdasarkan perkembangan politik semasa negara.

"Kita ada calon-calon yang berkelayakan tinggi terdiri pelbagai latar belakang seperti profesional, penjawat awam dan gandingan seimbang serta berkemampuan untuk memberikan keyakinan kepada pengundi," kata beliau.

Mengenai calon Menteri Besar, beliau menjelaskan perkara tersebut hanya akan diputuskan pada malam kemenangan PRU15 dengan perbincangan dalam konteks kekeluargaan dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain.