[VIDEO] Pas tak tergugat Khairuddin jadi calon BN: Abdul Hadi

Abdul Hadi ketika sidang akhbar selepas Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu pada PRU15 di Dewan Tok Guru, Rusila di Marang pada malam Khamis.
Abdul Hadi ketika sidang akhbar selepas Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu pada PRU15 di Dewan Tok Guru, Rusila di Marang pada malam Khamis.
A
A
A

MARANG - Keputusan BN meletakkan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai calon parti itu di kerusi Parlimen Kuala Nerus tidak memberi kesan kepada Pas.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, bekas pemimpin Pas itu boleh bertanding mewakili mana-mana parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini kerana sudah tidak menjadi ahli Pas.

"Beliau sudah dipecat daripada Pas dan (secara) automatik (telah) keluar daripada Pas.

"Kami tidak bertanggungjawab dengan diri dia, terserah pada dialah nak bertanding parti mana," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan Tok Guru, Rusila di sini, malam Khamis.

Jelas beliau, pemecatan ke atas penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus itu berkuat kuasa selepas pemimpin tersebut enggan senada dengan pendirian Pas walaupun telah beberapa kali dipanggil dan diberikan nasihat.

Katanya, Khairuddin mungkin juga hanya menerima sokongan rapuh daripada akar umbi setelah tidak lagi menjadi ahli parti.

"Tiada kesan dan tidak rasa tergugat dengan keputusan itu kerana Pas cawangan tidak bersama mereka bahkan mereka tidak menang dalam pertandingan (ketika) mesyuarat agung di peringkat kawasan pun.

"Mereka sudah diambil tindakan disiplin daripada awal dan semua daripada mereka telah dipanggil dan dinasihat.

Artikel Berkaitan:

"Oleh kerana mereka ada pandangan mereka sendiri dan tidak mahu terima keputusan parti, sila keluar daripada parti," kata beliau.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Pas mendapat sokongan berganda termasuk dalam kalangan penyokong UMNO.

Bahkan katanya, masih terdapat calon BN yang menyatakan minat untuk menjadi calon Pas pada pilihan raya ini.

"Ada lagi dan sedang dalam proses. Saya tidak boleh sebut lagi berapa kerusi. Yang penting ada di utara, ada di tengah, ada di selatan.

"Nantilah tunggu penamaan calon hari Sabtu," ujarnya ringkas.

Pas Terengganu mempertaruhkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Datuk Dr Alias Razak sebagai calon di Parlimen Kuala Nerus bagi menggantikan Mohd Khairuddin.

Pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal itu diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu pada PRU15 di Dewan Tok Guru, Rusila di sini, malam Khamis.

Parlimen Kuala Nerus menjadi tumpuan setelah penyandangnya, Mohd Khairuddin diumumkan sebagai calon BN yang akan bertanding di bawah gabungan itu bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada 19 November nanti.

Pada PRU14 lalu, Mohd Khairuddin yang meraih 37,974 undi menang dengan majoriti 8,447 menewaskan calon BN, Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang mendapat 29,527 undi.

Mohd Khairuddin turut menewaskan calon dari Pakatan Harapan (PH), Abdullah Muhammad yang memperoleh 4,604 undi.