Tiada lagi pertikaian 'rebut' kerusi Tanjung Piai: Salahuddin

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Datuk Salahuddin Ayub menegaskan tidak wujud lagi pertikaian berhubung perebutan kerusi Tanjung Piai hingga menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Parti Amanah Negara (Amanah), baru-baru ini.

Menurutnya, keadaan kini kembali tenteram dan tidak lagi wujud sebarang masalah dalam kalangan parti komponen PH.

"Tak ada pertikaian lagi. Itu disiplin kita dalam PH. Kita boleh bincang, kita boleh berkeras, kita boleh memperjuangkan tetapi bila Top 5 (pimpinan), buat keputusan, kita akur, walaupun ada ketidakpuasan hati...itu disiplin yang kita telah tunjukkan.

"Yang penting satu musuh mesti kita tumbangkan," katanya pada Majlis Memperkenalkan Calon PH pada Khamis.

Dalam laporan Sinar Harian pada Isnin, Parti Amanah Negara (Amanah) Johor kecewa tidak dapat bertanding di Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana terpaksa menyerahkan kerusi itu kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, parti itu mengalami nasib yang sama iaitu tidak berpeluang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu kerana menyerahkan kerusi itu kepada Muda.

Sementara itu, Salahuddin berkata, PH sekurang-kurangnya boleh menambah hingga 21 atau 22 kerusi berbanding18 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

"Contoh macam Pengerang..jangan diambil ringan, di sana berlaku perubahan ekonomi tempatan semakin meningkat.

"Begitu juga kerusi seperti Pontian kerana prestasi kita di DUN Pulai dan Benut tidak menghampakan.

"Begitu juga Tenggara dan Sembrong yang mungkin orang perlekehkan...tapi saya lihat mereka (pengundi), boleh beri sokongan pada PH," katanya.

Untuk rekod lima calon daripada Amanah, DAP (lapan), PKR (11) dan dua calon daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diumumkan bagi mewakili PH pada PRU15.

Kesemua calon berkenaan merupakan calon yang telah ditapis oleh parti masing-masing bagi membantu kemenangan PH kali ini.

Artikel Berkaitan: