Dua murid SK Melor rangkul emas kejohanan taekwondo

Nur Ishamina (kiri) dan Khasif Adriana (kanan) menang emas kejohanan taekwondo sempena Program 1,000 Liga tahun 2022 peringkat daerah di Kompleks Sukan Panji Kota Bharu pada Sabtu.
Nur Ishamina (kiri) dan Khasif Adriana (kanan) menang emas kejohanan taekwondo sempena Program 1,000 Liga tahun 2022 peringkat daerah di Kompleks Sukan Panji Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Melor mengharumkan nama sekolah apabila merangkul emas di Kejohanan Taekwondo (WTF) Program 1,000 Liga tahun 2022 peringkat daerah di Kompleks Sukan Panji di sini pada Sabtu.

Mereka ialah Nur Ishamina Mohd Azmira dan Khasif Adriana Mohd Khairil, masing-masing berusia 12 tahun menang bagi kategori 12 hingga 14 tahun.

Penolong Kanan Kokurikulum SK Melor, Azmi Mohd Zin yang mewakili Guru Besar berkata, pencapaian itu amat membanggakan dan memberi inspirasi kepada murid-murid lain untuk turut sama mengharumkan nama sekolah.

“Kokurikulum mempertahankan diri taekwondo ini sudah enam tahun bertapak di sekolah ini dengan keahlian seramai 60 ahli pada tahun ini.

“Sebelum ini, SK Melor memperolehi banyak pencapaian dalam sukan taekwondo di peringkat kebangsaan, antaranya yang diadakan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

"Terbaharu, dua murid perempuan kami mencatat kemenangan di peringkat daerah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Kejohanan Sukan Tahunan SK Melor kali ke-28 tahun 2022 di sini pada Khamis.

Muhammad Nasir (dua dari kiri) diiringi Azmi (kanan) menyampaikan hadiah kepada Nur Danisha Izara (dua dari kanan).
Muhammad Nasir (dua dari kiri) diiringi Azmi (kanan) menyampaikan hadiah kepada Nur Danisha Izara (dua dari kanan).

Kejohanan itu dirasmikan oleh Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf (Karangkraf), Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Azmi berkata, penyertaan murid-murid dalam sukan taekwondo sangat baik untuk memperkembangkan potensi dan sebagai seni mempertahankan diri.

Dalam pada itu, kata beliau, Sukan Tahunan SK Melor yang dianjurkan pada kali ini dapat dilaksanakan dengan jayanya atas kerjasama semua guru, ibu bapa, murid-murid serta sokongan padu daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

“Kejohanan ini berlangsung dengan jayanya selama dua hari dalam keadaan cuaca yang baik dan turut mendapat penglibatan tinggi daripada keseluruhan murid SK Melor yang berjumlah 413 orang,” katanya.

Dalam kejohanan itu, murid Tahun Lima, Muhammad Faris Fitri Mohd Faizul, 11, dinobatkan sebagai olahragawan, manakala murid Tahun Empat, Nur Danisha Izara Mohd Azwan,10, sebagai olahragawati sekolah itu.

Muhammad Nasir (tengah) bergambar bersama warga SK Melor pada Kejohanan Sukan Tahunan SK Melor kali ke-28 tahun 2022.
Muhammad Nasir (tengah) bergambar bersama warga SK Melor pada Kejohanan Sukan Tahunan SK Melor kali ke-28 tahun 2022.

Johan keseluruhan pula diungguli oleh rumah sukan Biru dengan jumlah mata terkumpul 313 diikuti Hijau (299), Merah (296) dan Kuning (284).

Sementara itu, Muhammad Nasir berkata, SK Melor antara sekolah yang dekat dengan Karangkraf dan pernah menerima sumbangan naskhah al-Quran dalam usaha membantu perkembangan murid.