Kok Leong-Keen Ho terlepas peluang rangkul emas kedua

Kok Leong (kanan) dan Keen Hoo ketika menentang pasukan Kemboja dalam acara akhir snooker beregu elaki di AEON Mall Sen Sok City, Phnom Penh pada Jumaat. - Foto Bernama
Kok Leong (kanan) dan Keen Hoo ketika menentang pasukan Kemboja dalam acara akhir snooker beregu elaki di AEON Mall Sen Sok City, Phnom Penh pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD snuker negara terlepas peluang merangkul emas kedua selepas gandingan Lim Kok Leong-Moh Keen Ho tewas mengejut kepada pasangan tuan rumah pada final beregu lelaki Sukan SEA Kemboja 2023, di Aeon Mall 2, Phnom Penh, malam ini.

Gandingan Kok Leong-Keen Ho terpaksa akur tewas 1-3 untuk membawa pulang perak apabila gagal menyaingi kehebatan gandingan Chhay Suon-Sophanith Man yang menikmati prestasi memberangsangkan pada temasya sukan dwitahunan itu.

Pada saingan final berkenaan, gandingan negara memulakan permainan dengan aksi hambar apabila tewas 0-69 di frame pertama sebelum bangkit di frame kedua dengan kemenangan 103-13.

Bagaimanapun, pasangan Kemboja yang beraksi di laman sendiri kembali menemui rentak dan menampilkan aksi konsisten sebelum merakam kemenangan di dua frame berikutnya 72-35 dan 60-28 untuk mengesahkan kejayaan dramatik.

"Perlawanan tadi memang sukar sikit sebab persembahan mereka hari ini bagus, mula-mula first frame (hanya) ada dua peluang kemudian kami lawan balik dalam frame kedua dan selepas itu juga kita tidak dapat banyak peluang," kata Keen Ho ketika ditemui selepas upacara penyampaian pingat di sini.

Kekalahan itu menyaksikan Kok Leong-Keen Ho tidak berjaya mempertahankan emas dalam acara itu yang dimenangi pada edisi 2019 di Filipina sebelum tidak berpeluang untuk mempertahankan kejayaan apabila acara beregu lelaki tidak dipertandingkan pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam, tahun lalu.

Keen Ho akui berasa sedih kerana tidak berjaya mengulangi pencapaian edisi 2019.

"Ada rasa sedikit sedih tetapi masih boleh terima (kekalahan) sebab lawan memang main bagus hari ini," katanya.

Sebagai rekod, Keen Ho menyumbangkan emas pertama kem snuker negara selepas meraih emas acara 6-Red individu Selasa, lalu.

Dalam pada itu, Kok Leong akan turun beraksi dalam acara individu esok dalam misinya membantu Persekutuan Snuker dan Billiards Malaysia mencapai sasaran dua emas yang ditetapkan. - Bernama