Ayuh bangkit semula!

Laporan Sukan Sinar pada Rabu.
Laporan Sukan Sinar pada Rabu.
A
A
A

MELAKA United FC dan Sarawak United FC diminta bangkit semula selepas sah tidak lagi bersaing dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Perkara itu disuarakan bekas penjaga gol kebangsaan, Mazlan Wahid yang pernah menabur bakti bersama kedua-dua pasukan tersebut sepanjang kariernya bergelar pemain.

“Kedua-dua pengurusan pasukan termasuk penyokong setia perlu menerima dengan hati terbuka keputusan yang dikenakan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) walaupun pahit.

“Begitu pun, secara peribadi bagi saya, ia bukan satu pengakhiran kepada Melaka United dan Sarawak United untuk kembali bersaing dalam liga utama negara pada masa depan.

“Penyingkiran daripada Liga-M 2023 adalah peluang kedua-dua pasukan yang mempunyai fans based besar memperbetulkan semula kelemahan yang terlepas pandang sebelum ini,” kata Mazlan kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Pada Selasa, MFL menolak rayuan yang dikemukakan kedua-dua kelab Liga Super itu untuk memohon lesen kebangsaan beraksi dalam saingan Liga-M musim depan.

Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL membuat keputusan selaras Artikel 3.4.4 yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2022.

Sarawak United gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan, manakala Melaka United pula tidak mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

MFL sebelum ini membenarkan kedua-dua kelab tersebut mengemukakan rayuan selepas kegagalan memenuhi kriteria ditetapkan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan lesen kebangsaan.

Pada masa sama, Mazlan juga mengakui masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari pasukan Liga-M berkaitan dengan permohonan lesen kebangsaan.

“Saya sedikit kecewa kerana masalah berkaitan lesen ini sering berulang seolah-olah kelab-kelab Liga-M tidak mempelajari sesuatu. Kebanyakan kelab yang beraksi di Liga M masih belum stabil untuk beraksi sebagai sebuah kelab lagi.

“Liga kita ini baru hendak memasuki era kelab bola sepak, sebelum ini kita banyak berpersatuan, jadi masih banyak perkara perlu dipelajari bagi melicinkan operasi sesebuah kelab bola sepak,” ujarnya.

Masa depan barisan pemain Melaka United kini menjadi tanda tanya.
Masa depan barisan pemain Melaka United kini menjadi tanda tanya.

Pada masa sama, Mazlan mengakui kecewa apabila Melaka United dan Sarawak United mengikut jejak Perlis yang disingkirkan daripada saingan Liga-M sebelum ini.

“Komuniti bola sepak tentu sahaja tidak berlaku lagi penyingkiran pasukan lain selepas penyingkiran pasukan Perlis daripada saingan liga utama negara beberapa tahun lalu.

“Apa yang berlaku kepada Melaka United dan Sarawak United ini seharusnya dapat dielakkan sekiranya kedua-dua pasukan itu mengambil pengajaran kes Perlis.

“Penyingkiran kedua-dua pasukan itu juga secara tidak langsung menyempitkan ruang kepada pemain tempatan akar umbi menonjolkan diri dalam saingan tertinggi negara, yang kini lebih dikuasai pemain import,” jelasnya.

Untuk rekod, MFL sebelum ini membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga-M 2019 berkuat kuasa pada 20 Februari 2019.

Keputusan membatalkan penyertaan skuad Singa Utara itu dibuat selepas meneliti secara terperinci dokumen kewangan diserahkan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Pada 2020, MFL juga mengambil tindakan sama apabila menyingkirkan Felda United FC dan UKM FC daripada Liga-M selepas kedua-dua pasukan gagal mendapatkan lesen kebangsaan.