Konflik selesai, PBM umum calon masa terdekat

PBM menjelaskan bahawa pengumuman calon dalam masa terdekat dibuat selepas konflik dalaman antara Larry (kanan) dan Zuraida berjaya diselesaikan.
PBM menjelaskan bahawa pengumuman calon dalam masa terdekat dibuat selepas konflik dalaman antara Larry (kanan) dan Zuraida berjaya diselesaikan.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bangsa Malaysia (PBM) dijangka mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Menerusi satu kenyataan, parti itu menjelaskan bahawa pengumuman tersebut dibuat selepas konflik dalaman antara presiden parti itu, Larry Sng Wei Shien dan Datuk Zuraida Kamaruddin berjaya diselesaikan.

Perkara itu juga sekali gus menerangkan tentang keabsahan jawatan Presiden PBM yang disandang Larry Sng.

“Isu pentadbiran PBM yang tular baru-baru ini telah diselesaikan dalam kunjungan Zuraida dan Larry Sng ke Pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Putrajaya pada pagi ini.

“Pimpinan tertinggi PBM dengan semangat pemuafakatan telah berjaya memurnikan hal-hal berbangkit dan akan menumpukan usaha bagi mendepani PRU15,” jelas parti itu pada Rabu.

Sebelum ini, Larry Sng telah menggantung Zuraida bersama 12 Ahli Majlis Tertinggi parti tersebut.

Ia berpunca disebabkan pelantikan Zuraida sebagai presiden parti berkenaan daripada beberapa akar umbi PBM yang didakwa tidak mendapat persetujuannya.

Penggantungan itu adalah berdasarkan Perlembagaan PBM Fasal 60 (iii) yang dilakukan kerana menggugat kepentingan parti dan kepimpinannya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, PBM memaklumkan kesemua calon yang bakal bertanding dalam PRU15 akan mendapat pengesahan rasmi daripada Larry Sng.

“Hal-hal lain berkaitan pentadbiran parti akan dibincang dan diselesaikan selepas PRU15,” tambahnya.