Kedah sedia bantuan khas RM5 juta

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah sentiasa mengambil berat nasib golongan memerlukan di negeri ini dengan menyediakan bantuan khas sebanyak RM5 juta bagi membantu meringankan beban mereka.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan berkenaan disediakan untuk pelbagai golongan termasuklah keluarga yang miskin tiba-tiba akibat kematian ketua keluarga.

Beliau berkata, pemberian bantuan berkenaan juga diharapkan dapat membantu golongan penoreh getah terkesan, pesawah yang kehilangan pendapatan sehinggalah anak-anak yang terhalang daripada peluang pengajian menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Antara lain, keluarga miskin yang tidak mampu menyediakan belanja pendidikan anak-anak, individu yang putus harapan selain untuk pegawai masjid dan guru KAFA dengan peruntukan disediakan pegawai kewangan negeri.

"Kita akan gunakan juga Tabung Tengku Mahmud yang akan dipinda dari Seksyen 9 kepada Sekyen 10 untuk membolehkan sumbangan kerajaan dan sumbangan luar dimasukkan ke dalam tabung itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan pergulungan Bajet Kedah 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi melahirkan keyakinan banyak syarikat besar dan orang kaya akan menyumbang dalam tabung tersebut kerana terharu dengan keikhlasan Kedah dalam membantu masyarakat di negeri ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, Kedah akan membuat tambahan Pakej Beras Sejahtera iaitu pek yang mengandungi beras lima kilogram dan makanan asas bernilai RM50 kepada kumpulan miskin yang tidak berkemampuan menyediakan makanan asas kepada ahli keluarga mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurut Muhammad Sanusi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan akan menerima 200 pek sebulan berbanding 150 pek sebulan, manakala ADUN pembangkang akan menerima 100 pek sebulan berbanding tiada pek sebelum ini.

Katanya, pemberian bantuan pakej beras itu akan dilaksanakan selama enam bulan dan tempoh bantuan akan dilanjutkan kepada sekiranya terdapat keperluan lagi.