BN calonkan veteran UMNO rampas Sungai Manik, Tualang Sekah

Ibrahim (kiri) dan Abd Rahman
Ibrahim (kiri) dan Abd Rahman
A
A
A

IPOH - Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan veteran UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik dan Tualang Sekah bagi merampas semula kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Mandat diberikan kepada Datuk Ibrahim Katop, 65, yang pernah memenangi kerusi DUN Sungai Manik pada PRU11 untuk bertanding semula di kerusi sama.

Ketua UMNO Bahagian Kampar, Datuk Abd Rahman Md Som, 70, pula di kerusi Tualang Sekah.

Peletakan dua pemimpin itu berikutan penyandang kedua-dua kerusi berkenaan memilih untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas keputusan PRU14 lalu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad sempena Pengumuman Calon PRU15 BN Perak di sini pada Rabu.

Pada PRU14, BN meletakkan Zainol Fadzi Paharudin di Sungai Manik dan Datuk Nolee Ashilin Mohammad Radzi di Tualang Sekah, kedua-duanya berjaya mengekalkan kerusi berkenaan yang disandang sejak 2008.

Dalam pengumuman calon Perikatan Nasional (PN), pada malam Selasa, Zainol Fadzi disenaraikan semula bertanding mewakili Bersatu di DUN Sungai Manik dan Parlimen Teluk Intan, manakala Nolee Ashilin beralih ke kerusi Parlimen Tanjong Malim.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan pada PRU14 lepas, BN menang di 27 kerusi kesemuanya menerusi calon UMNO.

Artikel Berkaitan: