PRU15: Boleh sewa dewan PBT untuk berkempen

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Semua parti politik di Negeri Sembilan dibenarkan menyewa dewan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun berkata, mereka perlu mematuhi beberapa peraturan ditetapkan.

"Kita tahu sekarang ini musim hujan dan kadang-kadang boleh menyusahkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat dan berkempen.

"Jadi kita benarkan semua parti politik untuk menyewa kemudahan (dewan) mengikut jam, bukannya secara berterusan. Kita pun telah maklumkan kepada semua PBT serta Pegawai Daerah dan Tanah setiap daerah mengenai perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Aminuddin menegaskan, tiada sesiapa atau mana-mana parti politik yang boleh memonopoli dewan berkenaan termasuklah daripada Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, kebenaran diberikan itu menunjukkan semangat demokrasi yang mahu ditonjolkan oleh kerajaan negeri di bawah PH.

"Kadang-kadang saya tengok penceramah kena hujan, angin kuat dan ada yang sampai hilang suara kerana demam. Jadi, kalau dibuat di dalam dewan lebih selesa.

"Tapi dewan dalam kompleks kerajaan tidak dibenarkan, begitu juga dengan balai raya. Mendirikan khemah atau apa-apa struktur di tanah kosong tanpa kebenaran juga tidak dibenarkan," katanya.

Artikel Berkaitan: