2,443 anggota polis ditempatkan di 15 pusat penamaan calon

Wan Hassan Wan Ahmad
Wan Hassan Wan Ahmad
A
A
A

ALOR SETAR – Polis Kedah akan menempatkan seramai 2,443 pegawai dan anggota polis di 15 pusat penamaan calon di seluruh Kedah pada Sabtu ini bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya akan menggerakkan semua elemen termasuklah unit Pasukan Simpanan Bersekutu (PSP), Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dan Unit Tempur Ringan (LSF) bagi menjaga keselamatan serta mengawal situasi sepanjang proses tersebut.

Menurutnya, seramai 298 pegawai dan 2,145 anggota akan ditempatkan di 15 pusat penamaan calon seluruh negeri dan dibantu 105 anggota PSP, 98 anggota PORU dan 171 anggota LSF.

“Bagi memastikan proses berjalan lancar, tali polis dan penghadang akan diletakkan selain anggota akan ditempatkan di tengah-tengah penghadang.

"Langkah itu dibuat bagi memastikan keadaan dapat dikawal dengan segera sekiranya berlaku sebarang provokasi daripada pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Simulasi Latih Amal Ex-Undiper PRU15 di hadapan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah di sini pada Rabu.

Beliau berkata, orang ramai dan parti politik yang bertanding dinasihatkan untuk mematuhi peraturan, larangan dan arahan semasa hari penamaan calon, tempoh hari berkempen dan hari penjumlahan undi.

“Aktiviti-aktiviti sepanjang tempoh berkempen yang melibatkan penyertaan yang ramai, penggunaan pembesar suara dan dianjurkan di kawasan terbuka hendaklah memohon kelulusan permit daripada pihak polis terlebih dahulu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Wan Hassan, parti-parti politik juga dinasihatkan untuk memahami sensitiviti setempat dan mengelakkan daripada provokasi tidak perlu seperti perebutan lokasi memasang bendera parti dan sebagainya.

“Berkempenlah secara harmoni tanpa menimbulkan sebarang masalah yang boleh menggugat keselamatan orang ramai dan kesejahteraan Kedah ini,” katanya.

Beliau berkata, ketua polis daerah juga telah diarahkan membuat perjumpaan dengan wakil calon di kawasan masing-masing bagi memberi maklumat mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa hari penamaan calon.

“Sekiranya mereka sampai di tempat penamaan calon, mereka akan ditempatkan di kawasan tertentu dan mereka akan diletakkan penghadang, tali polis dan sebagainya.

"Polis akan diletakkan supaya tidak akan ejek-mengejek atau berlaku provokasi hingga menyebabkan kemarahan dan elemen pergaduhan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, Polis Kedah juga telah mengenalpasti beberapa kawasan panas bagi PRU15 di Kedah seperti Baling, Kubang Pasu dan Kuala Muda.

Ketika diminta mengulas tentang penugasan polis Kedah sekiranya berlaku banjir, Wan Hassan berkata, ada pasukan khas pemantauan banjir di daerah sekiranya banjir berlaku ketika pilihan raya.

Sebelum itu, Wan Hassan menyaksikan simulasi ketenteraman awam yang disertai lebih 200 pegawai dan anggota polis yang diadakan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan tempoh PRU15.

Wan Hassan berkata, simulasi dilaksanakan oleh empat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu daerah Kota Setar, Langkawi, Kubang Pasu dan Baling ini dirancang mirip kepada keadaan dan ancaman sebenar yang berkemungkinan berlaku semasa PRU15 nanti.

Tambah beliau, simulasi ini bagi menguji keberkesanan perancangan dan tindakan polis dalam menghadapi situasi ancaman keselamatan dan ketenteraman awam serta memastikan pegawai dan anggota Polis Kedah sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi PRU15.

Sehubungan itu, Wan Hassan menasihatkan supaya orang ramai tidak panik dan terpengaruh dengan sebarang khabar angin yang mungkin disebarkan melalui media sosial berkaitan simulasi terbabit.