Masjid Tanah dijangka jadi tumpuan

Gambar hiasan (Gambar kecil: Nor Farhana Yaacob)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Nor Farhana Yaacob)
A
A
A

SELEPAS setahun Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan pada November tahun lalu, sekali lagi hampir 500,000 pengundi negeri ini akan keluar menjalankan tanggungjawab membuang undi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tapi kali ini berbeza kerana pengundi akan memilih wakil rakyat untuk kerusi Parlimen sahaja.

Walaupun hanya kerusi Parlimen, di Melaka tidak kurang hebatnya dan bakal menjadi tumpuan dengan beberapa nama calon 'heavyweight'. Antara kawasan yang menjadi tumpuan ialah Parlimen Masjid Tanah.

Pada PRU14, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menang kerusi berkenaan atas tiket UMNO. Beliau bagaimanapun mengambil keputusan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya.

Pada PRN lalu, bekas peguam itu kalah tipis di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dengan 3,195 undi berbanding pencabarnya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (BN) yang memperoleh 3,559 undi.

Jika dilihat dari segi faktor demografi, pengundi wanita di Masjid Tanah ialah kira-kira 58 peratus, mendahului pengundi lelaki. Melihat kepada faktor ini, Mas Ermieyati dikatakan mempunyai peluang besar untuk terus mengemudi Parlimen Masjid Tanah untuk penggal ketiga berturut-turut, selain kedudukannya sebagai anak tempatan.

Pengundi muda di Parlimen Masjid Tanah pula tidak kurang hebatnya apabila kira-kira 52 peratus daripada lebih 60,000 pengundi Parlimen berkenaan merupakan individu berusia 18 hingga 40 tahun yang akan membuat keputusan pada PRU15 nanti.

Biar pun begitu, kontroversi yang melanda Bersatu termasuk tindakan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden dan meninggalkan parti itu sedikit sebanyak memberi gambaran buruk terhadap pengundi mengenai masa depan parti tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sama ada kubu kuat UMNO itu mampu dibenamkan oleh Naib Ketua Srikandi Bersatu atau sebaliknya, hanya terjawab pada 19 November ini.

Percaturan

Sementara itu, beberapa hari menjelang penamaan calon pada Sabtu ini, BN Melaka juga membuat percaturan berani apabila meletakkan calon daripada komponen iaitu MCA di Parlimen Tangga Batu yang hanya kira-kira 24 peratus sahaja pengundi kaum Cina.

Pertukaran kerusi MCA dan UMNO di Parlimen tersebut dengan Parlimen Alor Gajah diyakini mampu merampas kembali kedua-dua kerusi tersebut daripada ditakluki Bersatu dan PH.

BN meletakkan keyakinan tinggi terhadap pengundi yang akan membuat keputusan memangkah parti berbanding calon selepas 22 bulan PH memerintah Melaka sebaik saja PRU14.

Selain itu, hampir setiap parti juga tidak ketinggalan meletakkan calon yang difikirkan sesuai untuk menyumbang kepada kemenangan parti, sekali gus membentuk kerajaan di peringkat Pusat.

Meskipun ada dalam kalangan ahli parti yang kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan parti itu yang menukarkan kerusi berkenaan, tapi BN Melaka akur dan berjanji akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan di pihak BN.

Situasi itu bagaimanapun berbeza di tempat lain yang mana timbulnya isu protes mahupun boikot parti apabila kehendak mereka untuk meletakkan calon pilihan mereka tidak didengari pimpinan parti seperti yang berlaku di Jasin.

Namun, berdasarkan tinjauan penulis, pemimpin-pemimpin BN di negeri ini berpendapat rajuk mereka yang tidak terpilih itu hanya sekejap kerana apa yang utama pada saat ini bekerja kuat untuk kemenangan parti. Dicalonkan atau tidak, itu soal kedua dan tidak perlu dikeruhkan lagi dengan tindakan keluar parti atau menutup bilik gerakan.

Kalau kali ini tidak terpilih, tapi pada pilihan raya akan datang mungkin dicalonkan semula. Dalam politik, segala-galanya boleh berlaku.

* Nor Farhana Yaacob ialah Wartawan Sinar Harian