Warga emas maut, motosikal diseret lori

Kemalangan itu turut mengakibatkan motosikal ditunggang mangsa terbakar. (Gambar kecil: Thevadas)
Kemalangan itu turut mengakibatkan motosikal ditunggang mangsa terbakar. (Gambar kecil: Thevadas)
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dan diseret sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Krubong Tampoi di sini, pada Selasa.

Kejadian jam 12.40 tengah hari itu turut mengakibatkan motosikal K S Thevadas, 68, terbakar dan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami cedera parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan mendapati insiden dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave cuba memotong sebuah lori ketika lampu isyarat bertukar hijau di persimpangan tersebut.

"Kejadian berlaku ketika kenderaan berat dari arah Krubong Tampoi menghala ke Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) Krubong bergerak apabila lampu isyarat bertukar warna hijau.

"Namun mangsa dari arah kiri dipercayai memotong ke arah kanan jalan sebelum berlaku pergeselan lalu motosikalnya diseret dan terbakar," katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, akibat pelanggaran itu mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

"Sampel darah pemandu lori berusia 57 tahun itu turut diambil untuk ujian alkohol dan dadah," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.