Kes bayi lapan bulan didera pengasuh kembali tular

Laporan polis dan gambar bayi yang tular di media sosial.
Laporan polis dan gambar bayi yang tular di media sosial.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kes seorang bayi perempuan berusia lapan bulan yang mengalami beberapa kecederaan disyaki akibat didera pengasuhnya di Taman Perling, di sini, kembali tular di media sosial, baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya mengesan satu hantaran berkaitan kejadian itu yang dimuat naik menerusi Facebook oleh pemilik akaun Khas Penduduk Kulai 'Official' (KPK), kira-kira jam 4 petang pada Sabtu.

Menurutnya, polis sebelum itu menerima laporan daripada ibu mangsa, seorang wanita tempatan berusia 35 tahun, pada 19 September lalu berhubung kejadian berkenaan.

"Berdasarkan siasatan, ibu mangsa melihat kesan lebam pada beberapa bahagian badan bayi perempuan itu selepas anaknya diambil suaminya dari rumah pengasuh di Taman Perling kira-kira jam 6 petang, 18 September lalu.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Utara menahan pengasuh berkenaan, seorang wanita tempatan berusia 36 tahun, kira-kira jam 1.30 tengah hari, 19 September lalu.

"Polis turut merampas sebatang rotan di kawasan Taman Perling bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Azrol Anuar memberitahu, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing juga negatif dadah.

Ujarnya, kertas siasatan lengkap dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor pada 23 September lalu dan arahan supaya suspek dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 diberikan.

"Suspek kemudian didakwa di Mahkamah Johor Bahru pada 24 September lalu.

Artikel Berkaitan:

"Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!