'Hati saya masih pada PH'- Phahrolrazi

Phahrolrazi
Phahrolrazi
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi mengakui hatinya masih pada Pakatan Harapan (PH) meskipun dirinya dipecat daripada Amanah pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu berkata, beliau masih lagi menyokong PH untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

Phahrolrazi berkata, beliau ketika ini juga belum berhubung dengan mana-mana parti lagi selepas dipecat parti sejak dua hari lepas.

"Cuma oleh kerana saya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini (Selasa), saya berjumpa dengan ADUN daripada Pas dan UMNO.

"Belum ada tawaran rasmi daripada UMNO, Datuk Othman Aziz ( Timbalan Pengerusi UMNO) tidak hubungi saya, hanya mengetahui perkara ini (pelawaan UMNO) menerusi berita yang saya baca secara dalam talian pada waktu rehat tadi," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Phahrolrazi berkata sedemikian ketika mengulas pelawaan UMNO Kedah sekiranya beliau mahu bersama parti tersebut untuk meneruskan perjuangan dalam politik.

Menurut Phahrolrazi, beliau masih lagi ADUN bebas ketika ini selepas dipecat dari parti Amanah.

"Selepas PRU nanti baru saya akan fikir mengenainya, ya hati saya masih pada PH, buat masa ini saya komited menyokong PH untuk menang PRU15 dan membentuk kerajaan,"

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan UMNO Kedah membuka ruang kepada bekas Pengerusi Amanah Kedah menyertai parti tersebut demi membolehkan dirinya meneruskan perjuangan dalam politik.

Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, mereka juga terkejut dengan pemecatan ADUN Alor Mengkudu itu selepas memboikot pilihan raya kerana kerusi Parlimen Jerai milik Amanah diberikan kepada DAP di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).