Mohd Khairuddin masih berteka-teki

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

KUALA NERUS - Biarpun rakyat termasuk penyokong BN masih berteka-teki tentang calon bagi Parlimen Kuala Nerus, pelbagai spekulasi terus tersebar.

Terbaharu, malam tadi satu senarai calon tular seolah-olah mengiyakan penyandang Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjadi calon bagi kerusi itu.

Bagaimanapun, sumber terdekat Mohd Khairuddin memaklumkan perlu tunggu keputusan rasmi yang akan dibuat malam ini berikutan beliau masih tidak dapat dihubungi setakat pagi ini.

“Tak pasti, kena tunggu malam ni. Malam ini BN umum calon di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),” itu jawapan ringkas daripada sumber Mohd Khairuddin.

Sekiranya spekulasi itu benar, pastinya penyokong BN ramai yang terkejut. Malah pemerhatian di media-media sosial, ibarat memberi isyarat akan berlaku ‘sesuatu’ kerana tidak puas hati.

Malah ada yang berpendapat kekecohan juga berlaku di antara pendamba calon kerusi berkenaan.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin dilihat aktif memberi ceramah di atas pentas UMNO malah turut menasihati Pas untuk menyokong BN.

Terdapat dua nama yang disebut-sebut bagi kerusi berkenaan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusof.

Artikel Berkaitan:

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohd Khairuddin memenangi kerusi Parlimen Kuala Nerus selepas mendapat 37,974 undi menewaskan calon BN, Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang memperoleh 29,527 undi dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdullah Muhamad selesa dengan 4,604 undi.