'Kami hilang kata-kata'

Pearly dan Thinaah menampilkan prestasi cemerlang sehingga bergelar juara Terbuka Perancis 2022.
Pearly dan Thinaah menampilkan prestasi cemerlang sehingga bergelar juara Terbuka Perancis 2022.
A
A
A

SELEPAS menanggung 'kesedihan' hampir dua bulan, kembara beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah selama lima hari di bumi Paris berakhir dengan noktah kegembiraan.

Segala-galanya tampak sempurna buat mereka sejak memulakan aksi pusingan pertama Terbuka Perancis 2022 sebelum mereka akhirnya dimahkotakan selaku juara Stade Pierre de Coubertin pada Ahad.

Pearly-Thinaah menyambar gelaran pertama mereka dalam kejohanan bertaraf Super 750 itu selepas mengejutkan juara dunia dua kali dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara menerusi kemenangan 21-19, 18-21, 21-15 di pentas final.

“Kami tidak sangka mampu untuk meraih gelaran juara secepat ini memandangkan saya baru pulih daripada kecederaan. Saya dan Thinaah memang sangat gembira dengan kejuaraan ini

”Ia sangat bermakna buat kami berdua tetapi masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Jadi saya harap momentum ini dapat kami kekalkan pada kejohanan akan datang,” kata Pearly kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sebelum beraksi di Paris dan Terbuka Denmark minggu lalu, mereka terpaksa 'berehat' seketika susulan kecederaan hamstring yang dialami Pearly pada pusingan pertama Terbuka Jepun awal September lalu.

Bagaimanapun, Pearly kembali bangkit meneruskan perjuangannya bersama Thinaah sehingga mereka mencipta sejarah muncul beregu wanita pertama Malaysia menjuarai Terbuka Perancis.

“Saya tak dapat gambarkan kejayaan ini dengan kata-kata. Terima kasih kepada semua pihak atas sokongan yang diberikan kepada saya dan Thinaah sehingga kami berjaya muncul juara Terbuka Perancis.

Artikel Berkaitan:

“Terima kasih semua. Akhir sekali... terima kasih kepada Thinaah kerana sentiasa mempercayai dan berada di sisi saya dan memberi semangat ketika saya cedera,” ujar Pearly.

Sementara itu, Thinaah mengakui Eropah sentiasa menjadi tempat kegemaran mereka untuk memburu kemenangan selepas turut berjaya memenangi pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Ogos lalu.

“Eropah adalah tempat yang membawa tuah kepada kami. Kami sangat gembira berada di sini, sentiasa ada ramai penyokong di Paris yang menyokong kami dan itu membantu semasa perlawanan.

“Kami gembira dapat bermain pada tahap ini tetapi kami fikir kami boleh menjadi lebih baik. Kejayaan ini adalah permulaan untuk kami meningkatkan lagi prestasi kami untuk menjadi lebih hebat,” ujarnya.