Gangguan bekalan air 60,000 akaun pengguna pulih esok

Onn Hafiz diberi taklimat ringkas semasa melawat kawasan paip pecah di Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru, pada Isnin.
Onn Hafiz diberi taklimat ringkas semasa melawat kawasan paip pecah di Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru, pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Masalah paip pecah di Bandar Seri Alam, Masai di sini sejak empat hari lalu yang menjejaskan 60,000 akaun pengguna Ranhill SAJ akan diselesaikan pada petang Selasa.

Pengarah rangkaian Ranhill SAJ, Khairul Effendy Tusam berkata, ketika ini pihak bertanggungjawab masih melakukan kerja-kerja pembaikan.

"Kita sedang berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki paip yang pecah secepat mungkin dengan keadaan sangat mencabar sekarang ini.

"Kita anggarkan paip siap dibaiki esok petang, maknanya esok malam bekalan air akan pulih secara berperingkat dan paling lambat sekali mungkin akan ambil masa 12 jam selepas paip siap dibaiki.

"Jadi kita minta semua bersabar dan doakan sebab kita empat hari di sini," katanya ditemui pemberita semasa meninjau kerja-kerja membaik pulih paip berkenaan, pada Isnin.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros dan Pengarah Rangkaian Ranhill SAJ, Khairul Effendy Pusam.

Kebocoran paip air di Bandar Seri Alam sejak Jumaat lalu menjejaskan sehingga 300,000 penduduk khususnya di kawasan Tanjung Langsat, Plentong, Permas dan Masai.

Menurut Onn Hafiz, pihaknya sudah bertemu Datuk Bandar Pasir Gudang dan pengurusan Ranhill SAJ dalam usaha menyelesaikan masalah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kejadian itu katanya, merupakan satu ujian yang amat besar kepada penduduk di kawasan terlibat.

"Terdapat isu teknikal melibatkan isu paip pecah di kawasan ini dan paip itu sedalam 8 meter ditambah lagi dengan hujan lebat semalam, ini mengakibatkan kesukaran pihak Ranhill SAJ membaiki paip yang rosak," katanya.

Selain itu ujarnya, bagi pelan jangka pendek mengatasi masalah gangguan air, Datuk Bandar Pasir Gudang dan wakil-wakil rakyat sedang menyelaraskan bantuan untuk menghantar tangki air ke kawasan terjejas.

"Saya telah hubungi pihak Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk menambah tangki selain kita juga berhubung dengan bomba dan agensi lain. Usaha ini dibuat supaya dapat membekalkan air kepada rumah-rumah terlibat," katanya.

Kawasan yang masih terjejas Bandar Seri Alam, Plentong, Taman Rinting, Masai, Permas Jaya dan juga Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat.