Wan Nazari jadi taruhan GTA di Besut

Wan Nazari
Wan Nazari
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Terengganu, Datuk Wan Nazari Wan Jusoh dipilih sebagai calon Gerakan Tanah Air (GTA) bertanding di Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Wan Nazari, beliau menghargai peluang dan tanggungjawab yang diberikan pucuk pimpinan parti serta tidak gentar untuk terus bertanding di kerusi milik BN itu walaupun pernah tewas pada PRU14.

“Saya harap kali ini pengundi dapat memilih pemimpin yang bebas rasuah bagi memberi ruang untuk membentuk sebuah kerajaan dan pentadbiran bersih.

“Harapan sudah tentu kepada pengundi muda terutama mereka yang berusia 18 hingga 30 tahun, berilah undi kepada pemimpin pelapis baharu serta dari parti blok ketiga,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Pada PRU14, Parlimen Besut dimenangi Datuk Seri Idris Jusoh yang bertanding atas tiket BN dengan undi sebanyak 34,335 menewaskan calon Pas, Riduan Mohamad Nor dan juga Wan Nazari.

Sementara itu, beliau memaklumkan GTA akan meletakkan calon di semua lapan Parlimen yang terdapat di Terengganu dan daripada jumlah itu, tiga kerusi diputuskan diwakili Pejuang iaitu Parlimen Besut, Setiu dan Kemaman.

Wan Nazari berkata, tiga kerusi lagi iaitu Parlimen Marang, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu akan ditandingi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) manakala Kuala Terengganu dan Dungun pula dari badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, semua calon GTA yang bertanding di Terengganu juga akan menggunakan logo Pejuang susulan pendaftaran gabungan GTA tidak mendapat kelulusan.

Artikel Berkaitan:

“Calon-calon ini dijangka diumumkan secara rasmi pada 2 November nanti,” katanya yang turut mengesahkan gabungan itu akan menampilkan seorang calon wanita di negeri ini namun enggan mengulas lanjut.