Jabatan Kesihatan rampas produk bernilai RM2.99 juta

Antara produk yang dirampas Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dalam Op Khing 2, semalam.
Antara produk yang dirampas Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dalam Op Khing 2, semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Kesihatan Pulau Pinang merampas 16 tan produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang disyaki mengandungi racun berjadual dalam Op Khing 2, semalam.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Mansor Hamzah berkata, antara yang dirampas adalah ubat-ubatan tradisional Cina, produk pil dan kapsul tanpa label yang dianggarkan bernilai RM2.9 juta.

"Kesemua bahan terlarang itu dirampas dalam beberapa serbuan di sekitar negeri ini termasuk di Bukit Mertajam yang melibatkan sebuah premis kedai ubat Cina dan tiga premis rumah kedai dua tingkat tidak berpapan tanda serta sebuah rumah kediaman.

"Serbuan dilakukan hasil maklumat yang disalurkan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Sarawak berikutan rampasan produk tidak berdaftar di negeri berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi mengesan pihak lain yang terlibat dan menyimpan produk disyaki mengandungi racun ini.

"Kes disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar agar menghubungi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Pulau Pinang di talian 04-2292319.

Dr Wan Mansor berkata, operasi itu melibatkan 62 orang pegawai penguat kuasa farmasi dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak dan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia serta lima anggota polis.

Artikel Berkaitan: