Rumah kongsi diserbu, 28 PATI ditahan

ANAK BUKIT - Beberapa rumah kongsi di sekitar Jitra dan Pokok Sena yang menjadi lokasi penginapan pendatang asing tanpa izin (PATI) diserbu menyebabkan 28 individu ditahan.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah dalam kenyataan berkata, serbuan Ops Sapu itu bermula 12 tengah malam Selasa sehingga selesai, membabitkan 21 pegawai JIM.
Menurut kenyataan itu, seramai 28 warga asing yang ditahan terdiri daripada 25 lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak, berumur antara satu hingga 47 tahun.

"Daripada jumlah tersebut, 12 warganegara Myanmar, empat warganegara Indonesia termasuk seorang kanak-kanak dan 12 warganegara Bangladesh telah ditahan.
"Kesalahan yang dikenal pasti melibatkan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu tinggal lebih masa," katanya.
Menurutnya, Borang IMM.29 Saman Kepada Saksi turut dikeluarkan sepanjang tempoh pemeriksaan bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.
Katanya, serbuan dilakukan di empat lokasi termasuk rumah kongsi di kawasan cadangan pembangunan perumahan di Jitra, premis tidak bernombor di Lebuhraya Bukit Kayu Hitam, premis di Jalan Wang Tepus, Jitra dan satu lagi di Kampung Jabi, Pokok Sena.
Jelasnya, kesemua 28 warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Belantik, Sik, Kedah untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Tegasnya, tindakan juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji, melindungi atau membenarkan warga asing berada di premis mereka tanpa dokumen perjalanan sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

