Krisis dalaman, keluar parti, pecat ahli 'drama' menjelang PRU15

Gambar dari kiri: Zuraida, Mohd Rafiq, Larry, Muhyiddin
Gambar dari kiri: Zuraida, Mohd Rafiq, Larry, Muhyiddin
A
A
A

MENJELANG hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 5 November depan, pelbagai kemelut dan drama yang dapat dilihat melibatkan parti-parti politik tanah air.

Terbaharu pada Ahad, beberapa isu melibatkan calon serta krisis dalaman parti menjadi tumpuan media.

Antaranya melibatkan jawatan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang menjadi pertelingkahan antara Datuk Larry Sng Wei Shien dan Datuk Zuraida Kamaruddin; peletakan jawatan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan pemecatan keahlian Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Selain itu, timbul juga isu tuduhan 'tikam belakang' terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kemelut Presiden PBM

Kemelut yang melanda PBM semakin parah apabila 12 Ahli Majlis Tertinggi termasuk Zuraida digantung keahlian dan jawatan.

Menurut Larry yang mendakwa masih presiden parti itu, tindakan tersebut dilakukan kerana penglibatan individu berkenaan yang didapati menggugat kepentingan parti dan kepimpinan.

Sementara itu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) turut mengesahkan Larry masih lagi Presiden PBM berdasarkan rekod yang ada di jabatan itu.

Phahrolrazi dipecat dari Amanah

Amanah pada Ahad memecat keahlian Phahrolrazi serta-merta ekoran didapati telah melanggar Perlembagaan parti.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dilaporkan berkata, Phahrolrazi mengingkari keputusan-keputusan dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh akan menjalankan tugas-tugas Pengerusi Amanah negeri berkenaan.

Phahrolrazi
Phahrolrazi

Letak jawatan dari Bersatu

Mohd Rafiq mengumumkan peletakan semua jawatan dalam Bersatu dan keluar dari parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan tersebut diambil ekoran tidak dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Tangga Batu walaupun sudah enam tahun berkhidmat di kawasan berkenaan sejak 2016.

Pimpinan parti sebaliknya menawarkan beberapa kerusi alternatif lain termasuk Parlimen Bagan Datuk yang bakal ditandingi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Muhyiddin jawab tuduhan tikam belakang Mahathir

Menjawab dakwaan tersebut, Muhyiddin menjelaskan telah berjumpa dengan Dr Mahathir pada 24 Februari 2020, namun tidak dimaklumkan mengenai niat untuk meletakkan jawatan.

Setelah pulang ke rumah, beliau mendakwa telah menerima sepucuk surat daripada Dr Mahathir memaklumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu, Perdana Menteri dan semua jawatan dalam kerajaan.

"Saya amat terkejut dengan tindakan Tun Mahathir meletak jawatan. Saya bergegas semula ke rumahnya untuk memujuk beliau supaya menarik balik peletakan jawatannya, namun beliau berkeras untuk meneruskan niatnya," katanya.