Larry setuju pelantikan Zuraida sebagai Presiden PBM

Nor Hizwan menunjukkan bukti jawapan bertulis diberikan Larry melalui pesanan ringkas berkenaan pelantikan Zuraida sebagai Presiden PBM.
Nor Hizwan menunjukkan bukti jawapan bertulis diberikan Larry melalui pesanan ringkas berkenaan pelantikan Zuraida sebagai Presiden PBM.
A
A
A

AMPANG - [DIKEMAS KINI] Pelantikan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) telah mendapat persetujuan daripada pengasas parti itu, Datuk Larry Sng Wei Shien.

Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad berkata, Larry telah memberikan persetujuan tersebut secara bertulis dalam bentuk pesanan ringkas yang diberikan ketika berurusan dengan beliau dan Ahli Majlis Tertinggi PBM.

Katanya, laporan dan keputusan mesyuarat majlis tertinggi parti itu yang diadakan pada 7 Oktober lalu juga telah diserahkan dan diterima oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

"Sehingga kini, pihak pentadbiran PBM tidak mengetahui apakah tujuan Datuk Larry Sng mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab di dalam hantaran Facebook beliau.

"Harap beliau dapat menghadiri Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PBM pada 3 November ini bagi menyelesaikan sebarang kekeliruan mengenai apa jua isu yang melibatkan pentadbiran parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi Bukit Antarabangsa, di sini, pada Jumaat.

Pada Khamis, Larry mendakwa, beliau masih Presiden PBM dan tidak pernah mengosongkan jawatan tersebut untuk diisi oleh Zuraida.

Susulan daripada itu, penyandang Ahli Parlimen Julau itu turut mengumumkan penggantungan Nor Hizwan dan Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tindakan itu diambil selepas mereka didapati menjejaskan kedudukan beliau dalam parti dengan mengadakan pertemuan tanpa pengetahuannya.

Mengulas mengenai perkara itu, Nor Hizwan berkata, berdasarkan Perlembagaan parti, keputusan untuk memecat beliau adalah di bawah kuasa prerogatif presiden iaitu Zuraida.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PBM kini sedang menumpukan usaha untuk mempertahankan kerusi enam penyandang ahli Parlimen partinya pada PRU15.

Enam kerusi Parlimen tersebut ialah Ampang Lahad Datu, Segamat, Tebrau, Kuala Langat dan Julau.