Muhyiddin jawab tuduhan 'tikam belakang' Tun M

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab tuduhan tikam belakang sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari 2020.

"Tun Mahathir kata saya tikam beliau dari belakang. Jenuh saya memikirkan bila masa saya menikamnya. Saya pada mulanya tidak mahu melayan tuduhan ini kerana bagi saya ini cerita politik yang telah berlalu. Saya lebih suka mengambil sikap berlapang dada.

"Tetapi saya berfikir semula. Kalau saya tidak jelaskan kedudukan yang sebenarnya, ramai orang akan mempunyai pandangan serong terhadap saya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Muhyiddin, beliau berjumpa dengan Tun Mahathir pada 24 Februari itu, namun tidak dimaklumkan mengenai niat untuk meletakkan jawatan.

"Setelah saya pulang ke rumah, saya menerima sepucuk surat daripada Tun Mahathir memaklumkan kepada saya bahawa beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Perdana Menteri dan semua jawatan dalam kerajaan. Pada masa yang sama, sepucuk surat peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri dihantar ke Istana Negara.

"Saya amat terkejut dengan tindakan Tun Mahathir meletak jawatan. Saya bergegas semula ke rumahnya untuk memujuk beliau supaya menarik balik peletakan jawatannya. Namun beliau berkeras untuk meneruskan niatnya," katanya.

Beliau berkata, alasan yang diberikan Tun Mahathir di dalam suratnya ialah kerana beliau tidak lagi mendapat sokongan Majlis Tertinggi parti yang mewakili ahli-ahli parti.

"Sehari sebelumnya, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah membuat keputusan untuk keluar dari Pakatan Harapan (PH). Beliau meletak jawatan kerana tidak puas hati dengan keputusan MPT Bersatu untuk keluar PH.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya, Tun Mahathir telah memulakan gerakan untuk Bersatu keluar dari PH. Tetapi beliau membuat pusingan U di saat akhir apabila Majlis Presiden PH dalam mesyuaratnya pada 21 Februari 2020 membuat keputusan untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

"Sebelum itu, kalau kita masih ingat, beliau telah didesak oleh beberapa pihak di dalam PH supaya berundur untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

"Setelah Majlis Presiden PH membuat keputusan untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri, beliau cuba meyakinkan MPT Bersatu supaya kekal berada di dalam PH. Tetapi MPT Bersatu hampir sebulat suara membuat keputusan sebaliknya," katanya.

Muhyiddin menjelaskan keputusan itu dibuat kerana memikirkan Bersatu semakin kehilangan sokongan orang Melayu akibat tindak-tanduk beberapa pihak di dalam PH terutamanya parti DAP yang dilihat gagal menjaga sensitiviti orang Islam dan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

"Walaupun kecewa dengan keputusan MPT Bersatu, Tun Mahathir tidak sepatutnya meletak jawatan. Kerana pada masa itu telah ada 138 Akuan Bersumpah Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

"Saya adalah salah seorang ahli Parlimen yang telah menandatangani Akuan Bersumpah untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

"Dengan peletakan jawatan Tun Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu, saya sebagai Presiden parti telah mempengerusikan mesyuarat khas MPT Bersatu. Mesyuarat tersebut telah sebulat suara membuat keputusan untuk mencalonkan semula Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. Semua Ahli Parlimen Bersatu telah diarahkan supaya menyokong Tun Mahathir," katanya.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh juga mendedahkan Presiden Pas dan Presiden UMNO mencadangkan supaya beliau menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri pada ketika itu.

"Saya tolak pencalonan itu kerana keputusan parti ialah untuk menyokong Tun Mahathir. Ketika semua Ahli Parlimen dipanggil menghadap oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk menentukan siapa yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, saya telah menyatakan sokongan saya kepada Tun Mahathir.

"Malangnya, Tun Mahathir gagal mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen. Sebahagian besar ahli-ahli Parlimen yang menandatangani Akuan Bersumpah menyokong beliau sebagai Perdana Menteri sebelum ini telah menarik balik sokongan kepadanya. Oleh sebab itu, menurut Perlembagaan Persekutuan, beliau tidak boleh dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

"Seorang lagi calon Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim pun gagal mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Negara pada masa itu terumbang-ambing kerana tidak ada seorang pun dalam kalangan ahli-ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen yang lain untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Pada ketika itulah saya sekali lagi didatangi oleh rakan-rakan dalam parti Pas dan UMNO yang menyatakan sokongan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri," katanya.

Muhyiddin berkata, sebagai tanda hormat, beliau telah menemui Tun Mahathir untuk meminta sokongan.

"Beliau beritahu saya, beliau sedia memberi sokongan kepada saya sebagai Perdana Menteri jika saya berjaya mendapatkan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen. Saya beritahu Tun Mahathir, Insya-Allah saya akan mendapat sokongan majoriti.

"Namun, Tun Mahathir membuat pusingan U sekali lagi apabila beliau mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri untuk berlawan dengan saya. Allahuakbar. Jadi, cuba saudara dan saudari bayangkan. Adakah saya menikamnya dari belakang? Adakah saya khianat?

"Saya buat ini demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara saya. Saya bukan pengkhianat," katanya.