PRU15: Mood rakyat masih 'sendu'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

TINGGAL lagi seminggu menuju ke hari penamaan calon untuk PRU15 yang dijadualkan pada 5 November ini, namun nampaknya mood rakyat terutamanya pengundi masih sejuk.

Kebanyakan mereka semacam tak ambil kisah sangat pasal PRU15, biarpun media massa sudah rancak memainkan cerita pilihan raya di pelbagai saluran saban hari.

Mungkin kedinginan mood rakyat itu dipengaruhi rasa bosan dan muak dengan perkembangan politik negara yang tidak menentu sejak lebih tahun lalu.

Percakaran, pertelingkahan dan berebut kuasa antara politikus yang menyaksikan tiga kali kerajaan bertukar perdana menteri, menyebabkan rakyat sudah jemu dengan permainan politik yang tidak berkesudahan itu.

Biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu, bagi mengembalikan mandat memilih kerajaan baharu mewakili rakyat, namun mereka dilihat tidak sedikit pun teruja.

Cuma yang galak, bersorak dan bersemangat hanya kumpulan orang-orang politik dan ahli parti sahaja.

Hanya mereka yang dilihat rancak bercerita dan bersembang di kedai kopi, dalam kumpulan Whatsapp mahupun di platform media sosial lain.

Tambahan pula walaupun Parlimen dibubarkan, ada beberapa negeri yang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan menyebabkan pengundi perlu turun mengundi sekali lagi selepas ini.

Artikel Berkaitan:

Bagi pengundi untuk DUN Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah, mereka perlu dua kali balik mengundi. Maknanya mereka kena dua kali keluarkan belanja untuk balik kampung bagi yang bermastautin di luar kawasan mengundi.

Sehingga ada yang sudah buat keputusan awal hanya mahu balik mengundi untuk PRU15 saja dan melupakan PRN nanti.

Bila sudah tak ada mood dicampur pula dengan macam-macam kerenah dunia politik, mungkin sebab itulah rakyat tak teruja sangat dengan PRU15. Tak macam PRU sebelum ini yang menampakkan mood pengundi bermula sejak awal pembubaran Parlimen dan memuncak sehingga hari pengundian.

Tapi harapnya, mood pengundi menjadi panas pada hari mengundi nanti dan mereka keluar beramai-ramai untuk tunaikan tanggungjawab memilih kerajaan baharu.