Raja-raja Melayu, Tun M dan kepentingan nasional

A
A

PERTAMA kali dalam sejarah, kerajaan gagal untuk meminda Perlembagaan Persekutuan membabitkan Perkara 1(2). Hari yang sama juga Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian menjadi Menteri Besar yang paling singkat dalam sejarah negara.

Episod ini adalah lanjutan daripada perang kenyataan terbuka antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim susulan pembatalan keputusan kerajaan menandatangani Statut Rom.

Kesemua peristiwa ini berlaku serentak dalam keadaan kerajaan sedang bersedia untuk meminda Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016, berunding mengenai pengurangan kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan China, dan juga merundingkan harga air dan ruang udara Johor dengan Singapura.

Maka apakah impak kesemua peristiwa politik domestik ini ke atas kepentingan nasional kita setakat ini?

Pertamanya, keputusan kerajaan menarik balik penyertaan sebagai negara ahli Statut Rom menghapuskan kebimbangan berkenaan ancaman terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan juga panglima tertinggi angkatan tentera Malaysia yang dihujahkan sebagai boleh digugat oleh Perkara 27 dan Perkara 28 Statut Rom.

Ia memperuntukkan bahawa “ketua negara dan komander tentera adalah tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) jika mana-mana jenayah tersebut dilakukan oleh mana-mana orang bawahan atau pihak berkuasa negara tersebut”.

Statut Rom menghadirkan implikasi buruk ke atas keupayaan total kita untuk mencegah sebarang anasir puak pemisah mahu pun pemberontakan.

Dalam situasi hipotetikal, sekiranya gerakan pemisah seperti Gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) menjadi semakin agresif hingga ke tahap melancarkan aktiviti bersenjata, maka Yang di-Pertuan Agong selaku ketua angkatan tentera Malaysia akan berhadapan dilema untuk bertindak balas semaksimum yang mungkin kerana juak-juak ini akan memperalatkan Statut Rom untuk mengheret baginda ke ICC.

Kerajaan Pakatan turut memulakan inisiatif pindaan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Pindaan 2019) seperti berikut:

(a) dalam subseksyen (1), dengan menggantikan perkataan “Perdana Menteri” di mana-mana jua terdapat dengan perkataan “Yang di-Pertuan Agong”;

(b) dalam subseksyen (4), dengan menggantikan perkataan “Perdana Menteri” dengan perkataan “Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis”;

(c) dalam subseksyen (6), dengan menggantikan perkataan “di Parlimen” dengan perkataan “di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen”; dan

(d) dalam subseksyen (7), dengan menggantikan perkataan “Perdana Menteri boleh” dengan perkataan “Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Majlis”.

Maka pada satu sisi, keputusan kerajaan untuk menarik balik penyertaan sebagai negara ahli Statut Rom memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua angkatan tentera untuk melancarkan tindakan ofensif besar-besaran jika ada anasir yang cuba menggugat kesepaduan negara.

Pada sisi yang lain pula, pindaan Akta MKN 2016 yang diusulkan turut memperkasakan kuasa Yang di-Pertuan Agong mengatasi Perdana Menteri.

Meskipun cubaan kerajaan untuk meminda Perlembagaan membabitkan senarai negeri-negeri yang ada di dalam negara (fokus Sabah dan Sarawak) gagal mendapat sokongan 2/3 Dewan Rakyat dan kemelut dengan istana Johor seolah-olah semakin hangat, namun prestasi rundingan bilateral kerajaan setakat ini menunjukkan perkembangan positif buat kepentingan nasional kita.

Singapura telah bersetuju untuk mencari penyelesaian secara damai berhubung perjanjian air termasuk kemungkinan menyelesaikan pertikaian menerusi timbang tara atas dasar persetujuan bersama.

Singapura turut menghentikan Instrument Landing System (ILS) yang menjadi pertelagahan susulan pembukaan lapangan terbang Seletar.

Malah, Dr Mahathir turut menyatakan bahawa Malaysia akan mula mengambil alih ruang udara selatan Johor dari Singapura secara berperingkat-peringkat mulai akhir 2019 hingga 2023.

Rundingan semula projek ECRL pula dilaporkan akan menurunkan kos projek menjadi antara RM34.4 bilion dan RM41.3 bilion kerana ia dibina dengan satu-landasan (single-track) dan bukannya dua-landasan (double tracking).

Menurut sumber The Star, pakej rundingan ECRL yang sedang dirundingkan ini turut melibatkan komitmen China untuk membeli lebih banyak minyak sawit kita di samping pelaburan terus dari China ke Malaysia.

Ringkasnya, di sebalik pelbagai kemelut politik domestik, kepentingan nasional kita masih terpelihara.

Soalnya, sampai bilakah keseimbangan yang tidak stabil (unstable equilibrium) ini mampu bertahan?

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia