Apa peluang calon Rantau?

A
A

DENGAN berbaki dua hari sahaja lagi, Pilihan Raya Kecil (PRK) di Rantau sudah tentu akan menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia.

Ketika ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) barangkali sedang berduka selepas gagal mendapatkan sokongan 2/3 majoriti yang diperlukan bagi meminda Rang Undang-undang (RUU) Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan berkenaan status Sabah dan Sarawak Selasa lalu.

Dengan approval rating PH yang semakin merosot apabila satu demi satu kontroversi mencalarkan reputasinya, kalah di Rantau barangkali perkara terakhir yang PH mahukan pada Sabtu ini.

Bagi Barisan Nasional (BN) pula, kemenangan di Rantau sememangnya amat berharga dan sangat diperlukan. Kemenangan itu bakal memberikan suntikan rejuvenasi kepada BN yang suatu ketika kelihatan malap selepas tewas dan hilang kuasa.

Cuba mencipta hatrik, Rantau akan digunakan sepenuhnya untuk mengurangkan defisit kekalahan BN dalam enam PRK yang telah berlangsung pasca PRU14 kepada BN (3) dan PH (4).

Tambahan pula, yang dipasang di sini adalah orang penting BN yang juga merupakan Pemangku Presiden UMNO yang mesra disapa sebagai Tok Mat.

Kalau di PRK Cameron Highlands dan Semenyih Tok Mat mengepalai BN berdepan PH, kali ini Tok Mat sendiri menjadi ayam tambatan BN untuk bersabung dengan Dr S Streram dari PH dan dua lagi calon bebas.

Di atas kertas, Tok Mat barangkali calon pilihan untuk menang di Rantau. Sepertimana sinonimnya Najib Razak dengan Pekan atau Hadi Awang dengan Marang, begitulah juga Tok Mat dengan Rantau.

Semenjak memenangi kerusi Rantau tahun 2004, beliau sukar dipisahkan dengan Rantau dan sentiasa menang dengan majoriti yang besar dalam setiap pilihan raya, sehinggalah isu pembatalan mahkamah terhadap kemenangan percumanya ketika PRU14 yang membawa kepada PRK Rantau ini.

Namun begitu setelah hampir dua minggu tempoh berkempen, peluang untuk memenangi kerusi ini kelihatan masih 50-50.

Ketika cetusan ini ditulis, baik Tok Mat dan Dr Streram nampaknya mempunyai peluang yang seimbang untuk bergelar ‘Yang Berhormat’ (YB) Rantau.

Tok Mat memiliki kelebihan disebabkan faktor anak tempatan, ketokohan dan perkhidmatan cemerlangnya sepanjang menjadi YB Rantau.

Sudah tentu politik ‘balas budi’ dan ‘kenang jasa’ akan menjadi pertimbangan mengundi Tok Mat.

Cuma mungkin akan timbul sedikit keraguan kepada pertimbangan sebegini kerana kalaupun Tok Mat menang, beliau hanya sekadar menjadi pembangkang, yang lazimnya akan menyukarkan bantuan, dana dan projek pembangunan kerajaan untuk sampai ke Rantau sepertimana yang dinikmati semasa beliau menjadi kerajaan sebelumnya.

Keseimbangan jumlah antara pengundi Melayu dan bukan Melayu juga tidak memungkinkan Tok Mat menggunakan format yang sama sepertimana di Cameron Highlands dan Semenyih.

Di Rantau, dua faktor yang barangkali tidak memungkinkan itu berlaku. Pertama, sumbangan pengundi Pas yang dijangka sekitar 2,000 sahaja berbanding di Cameron Highlands (4,000) dan Semenyih (7,000) atas faktor keahlian Pas yang rendah di Rantau.

Kedua, ada kebarangkalian undi Rantau yang mengalir keluar daripada BN di Parlimen Rembau ketika PRU14 terdahulu bakal berulang lagi sekiranya status quo kekal Sabtu nanti.

PH sudah tentu mengharapkan kesetiaan 48 peratus pengundi bukan Melayu dan peralihan pengundi atas pagar memihak kepada mereka.

Diperhatikan, PRK Rantau ini menyaksikan parti-parti komponen dalam PH lebih tekun, bersungguh dan tersusun berbanding PRK sebelumnya.

Di Rantau, Bersatu dan Amanah nampaknya agresif berkempen membantu PKR berbanding di Semenyih dalam konteks memenangi undi Melayu.

Dalam masa sama, PKR kelihatan berjaya membawa naratif ‘merehatkan Tok Mat’ di Rantau dan berjaya memperlihatkan Dr Streram sebagai calon serba boleh yang membawa nafas baharu buat Rantau.

Tambahan pula, karisma dan persona Datuk Seri Anwar Ibrahim yang amat disenangi pengundi bukan Melayu sentiasa membayangi Dr Streram di sepanjang berkempen.

Dengan profesion dan pengalaman Dr Streram sebagai seorang doktor serta aktivis kemasyarakatan yang gemar memberikan khidmat, baik di dalam mahupun di luar negara, orang Rantau digambarkan bakal mendapat wakil rakyat yang benar-benar berpengalaman dan terbukti mampu berkhidmat.

Tambahan pula, kelebihan PKR sebagai kerajaan memerintah di Negeri Sembilan akan memudahkan lagi tugasan Dr Streram kalau terpilih menjadi YB Rantau yang secara tidak langsung akan membawa lebih banyak kemudahan dan manfaat kepada orang Rantau terutamanya dalam isu-isu tanah, kesihatan dan pekerjaan yang sangat diperlukan.

Dan yang terakhir, diucapkan selamat berjaya juga kepada dua calon bebas yang juga turut mencuba nasib bertanding di PRK Rantau kali ini.

Atas semangat demokrasi, tindakan kalian itu sangat terpuji dan kami dihormati, walaupun kadang-kadang mimpi tidaklah seindah realiti.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.