Pecah masuk stor makanan curi sosej, isi ketam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Tindakan dua lelaki memecah masuk sebuah stor makanan di Kampung Ampang Campuran, mengundang padah apabila mereka ditahan pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 3 pagi, seorang wanita berusia 38 tahun terdengar bunyi bising di sebelah rumahnya selepas suspek disyaki menendang gril di stor berkenaan.

"Wanita itu kemudian mengintai dan mendapati dua lelaki tempatan telah memecah masuk stor tersebut, sebelum melaporkan kepada polis," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, sepasukan polis berjaya menahan dua lelaki berusia 21 dan 22 tahun yang juga jiran kepada pengadu pada jam 6 pagi.

Motif kedua-dua suspek yang juga penganggur memecah masuk stor itu adalah untuk mencuri makanan.

"Polis turut merampas dua peket makanan iaitu sosej dan isi ketam dianggarkan bernilai RM30," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati hanya salah seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: