PM jamin kaji semula IPG bantu pekebun kecil

Ismail Sabri (empat dari kanan) menyampaikan replika cek BMT bernilai RM14.54 juta untuk pekebun kecil di Pahang.
Ismail Sabri (empat dari kanan) menyampaikan replika cek BMT bernilai RM14.54 juta untuk pekebun kecil di Pahang.
A
A
A

BERA - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan meneliti semula paras harga pasaran getah yang ditetapkan bagi Insentif Pengeluaran Getah (IPG), sekiranya kembali menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri itu berkata, beliau sedar dengan rungutan pekebun kecil yang mahukan kadar IPG dipertingkatkan.

"Datuk Seri Salim (Pengerusi Risda) pun ada bangkitkan dalam Parlimen, jumpa saya berkali-kali memohon supaya paras RM2.50 (sekilogram) ini dipertingkat, saya pun dah bincang dengan Menteri Kewangan.

"Kita akan lihat perkara begini, Insya-ALLAH, jika diberikan peluang memerintah semula Malaysia, kita akan kaji semula dengan teliti perkara ini untuk kepentingan pekebun-pekebun kecil," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia di Padang Awam Kampung Batu Papan di sini, pada Ahad yang turut dihadiri Pengerusi Risda, Datuk Mohd Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Ismail Sabri berkata, IPG yang diperkenalkan kerajaan amat signifikan dalam usaha membantu pekebun kecil getah dalam berhadapan dengan harga getah yang tidak menentu.

"Sekiranya harga pasaran getah berada di paras RM2.50 sekilogram, kalau tidak ada insentif seperti ini dan harga getah turun kurang daripada RM2.50, pekebun kecil tidak akan dapat apa-apa. Namun dengan adanya insentif RM2.50 kalau harga RM2.40 kerajaan tanggung 10 sen untuk menampung kekurangan," ujar beliau lagi.

Tambahnya, kerajaan sedar pentingnya sektor penanaman getah kepada peningkatan ekonomi negara dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif serta bantuan, termasuklah program tanam semula getah dengan sasaran 20,000 hektar yang kini telah mencapai penananam 10,000 hektar melibatkan 7,180 pekebun kecil.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa ini, Risda juga menerima permohonan tanam semula getah seluas 18,524 hektar daripada 12,381 pekebun kecil di seluruh negara.

"Pekebun kecil di Pahang turut menyumbang kepada peningkatan kawasan penanaman semula seluas 1,354.69 hektar melibatkan 901 pekebun kecil dengan peruntukan berjumlah RM43.6 juta bagi semua program pembangunan komoditi getah," jelas beliau.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menjelaskan bagi meningkatkan pendapatan menerusi produktiviti hasil getah, kerajaan telah memperkenalkan Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) melibatkan peruntukan RM31.1 juta untuk mencapai pengeluaran hasil 1,800 kilogram sehektar.

Risda juga telah berjaya melahirkan seramai 23,522 usahawan bimbingan Risda di seluruh negara melalui bantuan berjumlah RM56.3 juta.

"Jadi peluang menjadi pekebun kecil Risda sentiasa terbuka luas setiap tahun kerana kerajaan melalui Risda menyediakan pelbagai inisiatif mempelbagaikan sumber pendapatan dan pembangunan modal insan untuk seisi keluarga pekebun kecil," kata Ismail Sabri lagi.

Sementara itu, Ismail Sabri juga memberitahu, kerajaan telah bersetuju meluluskan RM191 juta untuk Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) melibatkan seramai 232,319 pekebun kecil Risda.

"Kesemua pekebun kecil bakal menerima bantuan RM600 yang disalurkan secara berperingkat iaitu RM300 pada bulan hadapan dan RM300 pada Disember ini.

"Bagi BMT di negeri Pahang, sebanyak RM14.54 juta melibatkan 24,237 pekebun kecil bakal menerima bantuan untuk menghadapi musim tersebut.

"Insya-ALLAH, pada tahun depan, jika kerajaan saya dipilih semula pada PRU-15, BMT ini akan ditambah sebanyak RM200 kepada RM800 dengan peruntukan RM256 juta selama empat bulan kepada pekebun kecil Risda dan Felda seramai 320,000 orang," tambah beliau.