Bayi tersedak susu: Kecederaan lampau kata polis

Kesan kecederaan pada kaki Harraz yang dirakam 29 Mac lalu. - Foto Mohd Raihan
Kesan kecederaan pada kaki Harraz yang dirakam 29 Mac lalu. - Foto Mohd Raihan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kecederaan pada tubuh bayi lelaki berusia empat bulan yang maut tersedak susu petang semalam di Kampung Melayu Majidee disahkan sebagai luka lampau.

Namun Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan bapa mangsa berkaitan luka tersebut.

"Berdasarkan siasatan dan laporan doktor yang menjalankan bedah siasat ke atas si mati didapati tiada sebarang kecederaan atau lebam pada tubuh si mati.

"Kecederaan yang didakwa oleh bapa si mati adalah kecederaan lampau sebelum kejadian. Keterangan kecederaan lampau yang didakwa akan diambil kira untuk siasatan kes," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi maut tersedak susu di rumah pengasuh

Sebelum ini, bapa bayi yang maut, Muhd Hafeez Mohamed, 32 mendakwa ada bukti gambar terdapat kesan kecederaan pada lutut hingga ke buku lali anak lelakinya, Harraz.

Harraz difahamkan telah meminum sebotol susu dan tidur sebelum kejadian dan mukanya disedari menjadi kebiru-biruan semasa tidur.

"Bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan punca kematian ialah tersedak susu yang menyebabkan susu masuk ke dalam paru-parunya.

Artikel Berkaitan:

"Ini menyebabkan saluran kiri dan kanan paru-paru tersumbat yang membawa kepada kekurangan oksigen hingga menyebabkan kematian," katanya.

Sebelum ini, bayi malang itu dibawa ke klinik kesihatan oleh bapanya selepas dimaklumkan pengasuh anaknya tidak sedarkan diri.

Kemudian bayi itu dikejarkan ke HSA namun selepas 15 minit usaha menyelamatkannya dijalankan, doktor akhirnya mengesahkan Harraz telah meninggal dunia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana dengan cuai menyebabkan kematian.