'Tidak timbul isu pengundi Melayu berkurangan'

Ishsam
Ishsam
A
A
A

TAPAH - Tidak timbul sentimen isu pengundi Melayu akan berkurangan kepada calon kerusi Parlimen Tapah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua UMNO Bahagian Tapah, Ishsam Shahruddin berkata, kecenderungan pengundi kini lebih matang dan memilih calon yang bekerja untuk rakyat tanpa mengira latar belakang kaum.

"Pada saya, isu sentimen calon yang bakal bertanding di Parlimen Tapah nanti tiada masalah. Seperti kita tahu, penyandangnya, Datuk Seri M Saravanan telah menjalankan kerja dan tanggungjawab dengan baik.

"Beliau tidak berat sebelah dan memilih bagi memberi bantuan kepada sesiapa termasuk semasa negara dilanda Covid-19.

"Malahan, peruntukan untuk surau dan masjid diberikan sebanyak RM5,000 tanpa mengira daripada parti mana yang berada dalam jawatankuasa dan ianya antara yang tinggi di Parlimen Tapah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau diminta mengulas kenyataan Saravanan yang bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Tapah yang dimenanginya sejak tiga penggal lalu pada PRU15 nanti.

Bagaimanapun segalanya bergantung kepada keputusan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan menentukan calon bagi setiap kerusi.

Ditanya mengenai parti lawan yang meletakkan calon Melayu, Ishsam percaya sokongan pengundi tetap akan berpihak kepada BN.

Artikel Berkaitan:

Parti Gerakan Tanah Air (GTA) baru-baru ini mengumumkan Mior Nor Haidir Suhaimi bakal bertanding di Tapah.