Bot nelayan tempatan ditahan, tangkap ikan di zon larangan

Bot bersama kru termasuk tekong warga Myanmar ditahan selepas dikesan menceroboh kawasan pesisir pantai dan menjalankan aktiviti perikanan di luar jarak yang dibenarkan syarat lesen di perairan Nenasi, Pekan pada Khamis.
Bot bersama kru termasuk tekong warga Myanmar ditahan selepas dikesan menceroboh kawasan pesisir pantai dan menjalankan aktiviti perikanan di luar jarak yang dibenarkan syarat lesen di perairan Nenasi, Pekan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan di zon larangan tanpa kebenaran pada Khamis.

Bot kelas C yang dikendalikan enam kru warga Myanmar termasuk tekong itu ditahan bot pemintas Maritim Malaysia kira-kira jam 3.40 petang di lokasi kira-kira 8.3 batu nautika timur Nenasi, Pekan.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot nelayan tersebut ditahan ketika melakukan aktiviti penangkapan ikan secara menunda.

Menurutnya, Maritim Malaysia Pahang menerima aduan komuniti maritim setempat tentang kehadiran bot nelayan itu yang didapati menceroboh kawasan pesisir pantai dan menjalankan aktiviti perikanan di luar jarak yang dibenarkan syarat lesen.

"Pemeriksaan ke atas enam kru termasuk tekong warga Myanmar berusia dalam lingkungan 19 hingga 31 tahun itu mendapati semua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.

"Turut dirampas peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan dianggarkan seberat 4.5 tan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kamal Ariffin berkata, bot bersama kru yang ditahan dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading, Rompin sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti menangkap ikan kurang dari jarak yang dibenarkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Maritim Malaysia akan memperkasakan penguatkuasaan dan menggesa komuniti maritim terutamanya nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut.

"Komuniti maritim di perairan Pahang khasnya diingatkan supaya menjauhi sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah dan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999 yang beroperasi 24 jam," jelasnya.