RM12.8 bilion diperuntukkan hadapi MTL di Pahang

Ismail Sabri (tengah) tiba di Majlis Perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Pahang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) pada Sabtu. Turut kelihatan, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) tiba di Majlis Perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Pahang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) pada Sabtu. Turut kelihatan, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.8 bilion kepada kerajaan Pahang sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu disediakan di bawah projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai.

"Ia termasuk di Kampung Tanjung Batu, Pekan, Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting Mukim Pelangai di Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam Bandar Bera.

"Terdapat projek perintis kawalan hakisan dan kelodak di kawasan bercerun Cameron Highlands yang melibatkan kos RM6.07 juta bagi mengurangkan masalah serta meningkatkan kelancaran sistem saliran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Jelajah Aspirasi #Keluarga Malaysia di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan sebanyak RM1.215 bilion akan dibelanjakan bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Pahang.

Jelasnya, ia termasuk pembinaan dua loji rawatan air baharu, lima projek penambahbaikan loji rawatan air dan muka sauk.

Artikel Berkaitan:

"Tujuh projek pembinaan tangki air untuk sistem agihan dan satu Program Non Revenue Water (NRW) sekali gus dapat menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini," ujar beliau.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak RM1 bilion turut disediakan di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) dengan fasa pertama akan dilaksanakan di Pahang melibatkan lapan lokaliti yang akan memanfaatkan 178 Ketua Isi Rumah (KIR).

"Ia adalah Kampung Bohor Baru dan Perkampungan Orang Asli(KOA) Kuin/ Lengut, daerah Bera; Kampung Kechau Tui, daerah Lipis; dan Kampung Lada, daerah Jerantut.

"Seterusnya, Kampung Bolok, daerah Temerloh;Kampung Pasir Panjang, daerah Pekan;KOA Chenan Cerah, daerah Cameron Highlands;KOA Langkap Lama, daerah Rompin, dan KOA Tungau, Pos Lenjang, daerah Lipis," kata Ismail Sabri.

Beliau ketika menyampaikan ucapan turut memberitahu kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM1.307 bilion untuk menaik taraf dan menyenggara jalan persekutuan di Pahang.

Menurutnya, ia sekali gus akan membuka kawasan baharu dan merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

"Daripada jumlah itu, sebanyakRM572.8 juta diperuntukkan bagi projek-projek pembinaan dan menaik taraf jambatan serta jejantas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan Keluarga Malaysia Pahang.

"Kita juga komited dalam melaksanakan Pakej Central Spine Road (CSR) sepanjang Kuala Krai, Kelantan ke daerah Bentong sejauh 350 kilometer tanpa tol dengan kos

projek RM 8.7 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026," jelas beliau.

Menyentuh sektor pendidikan di Pahang, Ismail Sabri berkata, terdapat 40 projek baharu dan sambungan sekolah serta institusi pendidikan akan dilaksanakan.

Jelasnya, ia membabitkan kos RM 754 juta di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Tahun 2022.

"Sebanyak 13 projek telah siap sepenuhnya, 18 projek sedang dalam peringkat pelaksanaan manakala 9 projek lagi berstatus pra bina," jelas beliau.