133 penumpang diselamatkan, feri terkandas di Kuala Kedah

Kesemua penumpang dipindahkan ke tempat selamat.- Foto Maritim Malaysia
Kesemua penumpang dipindahkan ke tempat selamat.- Foto Maritim Malaysia
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 133 penumpang feri dalam perjalanan dari Terminal Jeti Kuala Kedah ke Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi diselamatkan selepas feri yang dinaiki terkandas di alur pelayaran di Kuala Kedah pada 4.30 petang Jumaat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pusat operasi menerima panggilan dari Jabatan Laut Malaysia (JLM) berhubung kejadian feri Starcity Express 6 terkandas di posisi 0.5 batu nautika muara Kuala Kedah.

"Feri berkenaan telah cuba ditunda balik oleh sebuah bot tunda milik sebuah syarikat kargo di Kuala Kedah tetapi feri itu telah terkeluar dari laluan asal dan tersangkut di beting lumpur.

"Sebaik menerima laporan, Bot PERKASA 1224 telah ke lokasi bagi membantu pihak feri dan JLM untuk memindahkan kesemua 133 penumpang terdiri daripada lelaki dewasa, wanita dewasa, kanak-kanak lelaki dan perempuan sebelum paras air mulai surut,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Feri dalam perjalanan dari Terminal Jeti Kuala Kedah ke Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi terkandas di posisi 0.5 batu nautika muara Kuala Kedah. - Foto Maritim Malaysia
Feri dalam perjalanan dari Terminal Jeti Kuala Kedah ke Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi terkandas di posisi 0.5 batu nautika muara Kuala Kedah. - Foto Maritim Malaysia

Beliau berkata, kerja memindahkan penumpang turut dibantu beberapa bot nelayan yang berada di kawasan berhampiran untuk dibawa semula ke Terminal Jeti Kuala Kedah.

"Operasi menyelamat telah ditamatkan sepenuhnya pada 6.30 petang setelah kesemua penumpang berjaya dibawa ke terminal jeti berkenaan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata sebarang aduan kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, JLM dalam satu kenyataan memaklumkan satu pasukan siasatan ditubuh bagi memastikan insiden seperti itu tidak berulang.

Selain itu, pemeriksaan semula oleh Badan Klasifikasi ke atas feri tersebut juga akan dipantau oleh surveyor daripada JLM bagi memastikan feri tersebut selamat untuk beroperasi semula. - Bernama