Pekerja swasta didakwa miliki pistol 'Glock 18' tiruan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pekerja swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tiruan, di hadapan sebuah kedai serbaneka, minggu lalu.

Adriandi Idrus, 43, didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan jenis 'Glock 18' di hadapan kedai serbaneka 7-Eleven, Pinggiran USJ 1, Subang Jaya, di sini, pada 4.40 pagi, 6 April lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata yang boleh dihukum mengikut Seksyen 36(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan tidak berkemampuan.

Majistret Nor Ariffin Hisham membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Mei untuk sebutan semula kes.- Bernama

Artikel Berkaitan: