[VIDEO] Shafee dilepas, dibebaskan tuduhan gubah wang haram RM9.5 juta

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat daripada empat pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Shafee, 70, di akhir pendakwaan.

Keputusan berkenaan juga dibuat selepas mahkamah selesai mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan pada 15 September lalu.

Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, tiada keterangan yang menunjukkan Datuk Seri Najib Razak atau mana-mana orang lain melakukan kesalahan aktiviti pengubahan wang haram sehingga mencemari wang berjumlah RM9.5 juta yang diterima peguam Muhammad Shafee.

Menurutnya, saksi kelapan pendakwaan iaitu Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Farid Jabar mengesahkan tidak ada apa-apa aktiviti haram ketika tertuduh menerima wang berkenaan melalui dua keping cek.

Kata beliau, saksi tersebut juga mengesahkan bahawa penerimaan wang itu bukan penerimaan hasil daripada aktiviti haram, dan mengikut undang-undang, pihak pendakwaan terikat dengan saksinya.

“Saya dapati melalui keterangan dikemukakan pendakwaan, tidak ada langsung menunjukkan perlakuan kesalahan predikat (aktiviti haram) dan daripada mana wang diperoleh, sebaliknya keterangan Mohd Farid ketika disoal balas mengesahkan bahawa tidak ada apa-apa aktiviti haram yang menunjukkan tertuduh menerima wang itu melalui dua keping cek.

“Pendakwaan terikat dengan saksinya sendiri. Oleh kerana tidak ada perlakuan kesalahan predikat, maka mungkin tidak ada hasil daripada aktiviti haram dan ini menjadikan kesalahan predikat (aktiviti haram) tidak berjaya dibuktikan, oleh itu elemen utama gagal dibuktikan oleh pendakwaan," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Jamil menegaskan, untuk membuktikan wang diterima tertuduh adalah hasil daripada aktiviti haram, pendakwaan mesti menunjukkan perlakuan aktiviti haram iaitu daripada mana wang berkenaan diperoleh.

“Hujahan pendakwaan bertentangan dengan keterangan saksi bahawa tidak ada apa-apa aktiviti haram ketika tertuduh menerima wang berkenaan melalui cek. Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa wang berkenaan yang diterima adalah hasil daripada aktiviti haram,” katanya.

Jelas beliau, asas pertuduhan pertama dan kedua ialah tertuduh menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta melalui cek dan beliau berpandangan tarikh pada masa penerimaan wang adalah penting untuk menentukan ia hasil daripada aktiviti haram.

Katanya, tarikh penerimaan hasil daripada aktiviti haram yang dinyatakan dalam pertuduhan pertama dan kedua ialah 13 September 2013 dan 17 Februari 2014, oleh itu pendakwaan mesti menunjukkan perlakuan kesalahan predikat sebelum atau pada tarikh penerimaan wang terbabit.

Muhammad Jamil menambah, bagi dua kesalahan memberikan penyata tidak betul kepada LHDN pula, ia juga tidak dapat dibuktikan kerana tiada apa-apa transaksi membabitkan hasil daripada aktiviti haram berlaku pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 seperti dinyatakan dalam pertuduhan.

Susulan itu, beliau memberitahu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Muhammad Shafee bagi kesemua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

“Daripada kesemua keterangan yang ada pada saya sekarang, adalah tidak selamat untuk saya memanggil tertuduh untuk membela diri atas empat pertuduhan itu.

“Saya juga tidak bersedia untuk mensabitkan tertuduh jika pembelaan dipanggil dan tertuduh memilih untuk berdiam diri. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri, “ ujar beliau.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Cek RM4.3 juta diterima pada 13 September 2013 manakala RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Beliau dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Seskyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi berkaitan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul dan bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram jika sabit kesalahan.

Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil lapan saksi pada perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021.

Selain Mohamad Farid, saksi pendakwaan yang dipanggil ialah Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan R Uma Devi; Pengurus Cawangan CIMB Bank Bukit Tunku Rosnita Ahmad; bekas pegawai LHDN dan Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad.

Muhammad Shafee diwakili peguam utama, Harvinderjit Singh manakala pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Beliau yang memakai sut hitam terdahulu tiba di Kompleks Mahkamah di sini jam 9.07 pagi dengan ditemani ahli keluarganya.