[VIDEO] PRU15: Pas Terengganu tanding tujuh kerusi Parlimen

Husain (tengah) ketika sidang akhbar selepas merasmikan markas induk Pas dan pelancaran jentera pilihanraya di Kuala Terengganu, pada malam Khamis.
Husain (tengah) ketika sidang akhbar selepas merasmikan markas induk Pas dan pelancaran jentera pilihanraya di Kuala Terengganu, pada malam Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Desas-desus mengatakan berlaku pergolakan dalam agihan kerusi Parlimen yang akan ditandingi Perikatan Nasional (PN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terjawab apabila Pas mengesahkan akan bertanding di tujuh kerusi manakala satu kerusi ditandingi rakan gabungan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, tujuh kerusi itu ialah Besut, Kemaman, Kuala Terengganu, Marang, Setiu, Dungun dan Kuala Nerus manakala satu kerusi yang akan ditandingi Bersatu ialah di Hulu Terengganu.

"Pada PRU14 lalu, enam kerusi sedia dimilik Pas, satu kerusi sedia dimiliki Bersatu di Hulu Terengganu dan terdapat satu kekosongan di Besut. Kita telah putuskan Besut juga akan ditandingi oleh calon Pas," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan markas induk Pas dan pelancaran jentera pilihanraya di sini, malam Khamis.

Husain turut menyangkal dakwaan wujud usaha untuk memboikot Pas oleh ahli Bersatu dengan mengugut untuk menyokong UMNO sekiranya calon Bersatu tidak diberikan peluang bertanding di kerusi Parlimen Besut.

"Setakat ini tiada tanda-tanda ke arah boikot memboikot antara kedua-dua pihak.

"Saya yakin Bersatu tetap terus bersama dengan kita dan mereka telah memberikan komitmen untuk terus bersama-sama dengan Pas bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat Persekutuan," katanya.

Menurut Husain, Pas telah mengadakan perbincangan dengan Bersatu bagi agihan kerusi di Terengganu dan keputusan bersama diperoleh secara mudah.

"Pas memutuskan untuk meletakkan calon di Besut atas kekuatan bersama dan atas persetujuan bersama antara Pas dan Bersatu tanpa kita mengambil kira penilaian tentang perbandingan sama ada Pas kuat atau Bersatu kuat.

Artikel Berkaitan:

"Kita mengambil asas meletakkan calon di situ untuk memperteguhkan parti di peringkat negeri dan kita yakin peluang untuk menang lebih cerah dengan sokongan lebih kuat," ujar beliau.

Sebelum ini, terdapat desas-desus mengatakan kerusi Parlimen Besut turut menjadi idaman Bersatu setelah penyandangnya, Tan Sri Idris Jusoh mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memberi laluan kepada calon muda dari Barisan Nasional (BN).

Idris dalam kenyataan pada Isnin lalu memberitahu, keputusan beliau untuk tidak mempertahankan kerusi itu seiring dengan hasrat UMNO untuk meremajakan parti.

Pada PRU14 lalu, Idris meraih 34,335 undi bagi kerusi Parlimen Besut dengan majoriti 4,599 menewaskan calon dari Pas, Riduan Mohamad Nor yang memperoleh 29,736 undi serta calon dari Pakatan Harapan (PH), Wan Nazari Wan Jusoh (6,864 undi).