Twitter lancar notifikasi #ThereisHelp

Langkah yang perlu dilakukan oleh pengguna untuk menetapkan notifikasi gesaan #ThereisHelp pada akaun masing-masing sebagai persediaan untuk menghadapi bencana.
Langkah yang perlu dilakukan oleh pengguna untuk menetapkan notifikasi gesaan #ThereisHelp pada akaun masing-masing sebagai persediaan untuk menghadapi bencana.
A
A
A

SHAH ALAM - Twitter dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melancarkan notifikasi gesaan #ThereisHelp sebagai persiapan untuk membantu rakyat Malaysia menghadapi kejadian bencana alam.

Twitter dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, penyediaan perkhidmatan itu merupakan usaha berterusan pihaknya dalam menyampaikan maklumat sahih pada masa nyata dan menghubungkan orang ramai dengan sumber sokongan dipercayai ketika bencana.

“Apabila orang ramai mencari kata kunci berkaitan bencana alam di Malaysia, hasil carian teratas akan memaparkan notifikasi dalam Bahasa Malaysia.

“Hal ini menggalakkan mereka untuk klik pada maklumat yang boleh dipercayai dan sokongan yang diberikan oleh rakan kongsi kami,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Twitter memaklumkan bahawa perkhidmatan itu tersedia d Twitter iOS, Android dan twitter.com.

Dalam pada itu, Ketua Dasar Awam dan Dermawan, Asia Tenggara di Twitter, Monrawee Ampolpittayanant berkata, objektif utama pelancaran gesaan notifikasi carian #ThereIsHelp itu adalah untuk membantu memendekkan masa carian dan menyediakan akses kepada maklumat boleh dipercayai daripada rakan kongsinya tepat pada masa diperlukan.

“Dengan kerjasama MERCY dan Nadma, kami berharap perkhidmatan notifikasi ini dapat berfungsi sebagai salah satu cara untuk membantu orang ramai di Malaysia serta pihak berkepentingan kerajaan dan bukan kerajaan mengharungi cuaca ekstrem pada musim tengkujuh dan kejadian lain yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus melahirkan penghargaan kepada kepada Twitter kerana mewujudkan komunikasi yang berasaskan komuniti itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerjasama dengan pihak berkepentingan itu diharap dapat membantu untuk menyampaikan maklumat dan meningkatkan daya penyesuaian kepada pengurangan dan pengurusan risiko bencana.

Pada masa sama, Timbalan Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, kerjasama bersama Twitter itu dilihat dapat meningkatkan kesedaran pengguna untuk menerima maklumat yang dipercayai dan secara rasmi daripada kerajaan.

“Nadma bertanggungjawab dalam memastikan penyelarasan dan perlaksanaan pelan tindakan di peringkat pusat, negeri, dan daerah berjalan dengan lancar dalam usaha kesiapsiagaan menghadapi bencana.

“Siaga bencana ini dapat mengurangkan kerosakan harta benda serta mengelakkan nyawa terkorban,” katanya.

Untuk rekod, Twitter telah melancarkan lebih 300 gesaan notifikasi carian #ThereIsHelp dengan 41 bahasa tersedia di 106 pasaran di seluruh dunia berkaitan pelbagai isu.

Ia antara lain membabitkan isu seperti kebebasan bersuara di Thailand yang telah diperluaskan ke Indonesia, Malaysia dan Filipina; kesihatan mental dan pencegahan bunuh diri; vaksinasi; eksploitasi seksual kanak-kanak; Covid-19; keganasan berasaskan jantina; HIV dan tindak balas bencana.